Abdul Hadi Awang

ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan kenyataan beliau supaya Perdana Menteri ke-11 sewajarnya berumur di bawah 70 tahun tidak ditujukan kepada sesiapa.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Marang itu, kenyataan tersebut ditujukan kepada diri sendiri, dengan maksud supaya mencari individu yang lebih muda berbanding beliau.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan supaya calon Perdana Menteri sewajarnya seorang yang masih kuat dan gagah.

“Saya jawab kepada pemberita yang umur 70 ke atas macam saya dan Mursyidul Am tak payah dah. Cari yang bawah pada itu yang kuat dan gagah.

“Saya tuju ucapan ini pada saya, bukan pada orang yang lain sama ada yang hidup atau mati. Pilih siapa yang ada ilmu, kebijaksanaan dan kekuatan untuk memajukan negara,” katanya ketika pada sesi penggulungan Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini hari ini.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan pada sesi penggulungan usul sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 SEPTEMBER 2025

Semalam, Abdul Hadi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar sempena muktamar itu mengakui  beliau tidak layak menggalas jawatan Perdana Menteri apatah lagi usianya kini mencecah 78 tahun.

Malah, beliau turut memberi bayangan calon Perdana Menteri yang bakal dinamakan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mestilah mempunyai tubuh badan yang sihat dan berusia di bawah 70 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/09/15/saya-tak-layak-biarlah-orang-kuat-bawah-70-tahun-jadi-pm-hadi/

Sebelum ini, Perhimpuan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluluskan usul supaya mencadangkan Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berusia 78 tahun sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti itu.

Sementara itu, dalam ucapan penggulungannya, Abdul Hadi berkata, Pas turut berhadapan dengan cabaran besar dari segi ketaatan dan kesetiaan ahli-ahli akar umbi terhadap pemimpin yang dilantik melalui muktamar, mesyuarat atau oleh Pas Pusat di peringkat negeri atau ketika pilihan raya.

Sedangkan, jelas beliau, ciri-ciri wala’, ketaatan dan kesetiaan kepada kepimpinan merupakan asas utama dalam mencapai kemenangan dalam perjuangan Islam.

“Ada orang dia nak pemimpin ikut rasa selera dia, ikut rasa puak dia, kumpulan dia, pandangan dia.

“Pas Pusat mendengar pandangan-pandangan semua pihak, nak lantik Setiausaha Agung, nak lantik Pesuruhjaya, kita dengar.

“Yang buat keputusan ialah Pas Pusat. Lepas mesyuarat mesti taat pada yang dipilih itu walaupun dia tak pilih, dia tak sokong pemimpin yang dipilih itu. Ini kesetiaan, ketaatan kepada pemimpin,” katanya.

Tambah Abdu Hadi, pelantikan pemimpin termasuk Pesuruhjaya Negeri, Menteri Besar serta calon pilihan raya ditentukan Pas Pusat selepas mengambil kira pandangan semua pihak, namun perkara itu sering menimbulkan rasa tidak puas hati.

Sedangkan, ujar beliau, Pas Pusat melihat dengan cara yang menyeluruh dalam melantik pemimpin atau memilih calon, bukannya menilai dari satu aspek sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast