JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menafikan dakwaan bahawa pelajar tempatan dianaktirikan termasuk pelbagai kaum ketika ini tidak mendapat pekerjaan setimpal dengan kelulusan pendidikan mereka.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, dakwaan itu adalah tidak berasas dan pihaknya sentiasa memastikan peluang pelajar tempatan mendapat tempat di peringkat sarjana muda sentiasa ditambah berdasarkan prinsip meritokrasi yang inklusif untuk semua kaum.
UTM menegaskan, persepsi negatif yang diwujudkan pihak berkenaan boleh merosakkan imej institusi pendidikan yang telah terbina sekian lama.
“UTM berpegang teguh bahawa institusi pendidikan tinggi adalah medan ilmu, penyelidikan dan inovasi yang membentuk kemajuan bangsa dan negara,” menurut kenyataan hari ini.
Justeru, UTM ingin memperjelaskan beberapa fakta penting sepertimana berikut:
1.Reka bentuk dan kualiti program
Akademik setiap program yang ditawarkan oleh UTM dibangunkan berasaskan kajian keperluan pasaran melalui penglibatan panel industri serta mendapat akreditasi daripada badan profesional berkaitan.
Pendekatan itu adalah bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.
Hasilnya, graduan UTM telah mencapai kadar bekerja graduan (Graduate Employability) dan kadar kebolehpasaran graduan (Graduate Marketability) 100 peratus selama dua tahun berturut-turut, iaitu untuk tahun 2023 dan 2024.
2. Komposisi pelajar antarabangsa
Pada peringkat prasiswazah, peratusan pelajar antarabangsa UTM pada 2024 ialah 7 peratus, melibatkan pelajar dari 56 buah negara.
Angka ini mencerminkan keseimbangan antara keterbukaan antarabangsa dengan keutamaan yang diberikan kepada pelajar tempatan.
3. Pelajar dari negara China
Jumlah pelajar prasiswazah dari negara China adalah 1.2 peratus sahaja tidak seperti yang digambarkan.
Sementara itu, UTM menjelaskan, pihaknya akan terus konsisten melahirkan graduan berkualiti melalui tradisi kecemerlangan ilmu yang berteraskan sains, kejuruteraan dan teknologi.
“Komitmen ini sejajar dengan falsafah serta objektif penubuhannya dalam membangunkan bakat anak watan yang berdaya saing dan menyumbang secara bermakna kepada kemajuan negara,” jelas kenyataan itu lagi.
Kelmarin, Perwakilan Pas Kedah, Dr Haim Hilman dalam sesi perbahasan sempena Muktamar Pas Pusat ke-71 di Markas Pas Kedah mendakwa sistem pendidikan tinggi negara disifatkan berada dalam keadaan krisis susulan pelbagai isu yang sedang berlaku dalam sektor itu ketika ini.
Sebagai contoh, katanya, kira-kira 1.9 juta graduan tempatan daripada pelbagai kaum ketika ini tidak mendapat pekerjaan setimpal dengan kelulusan pendidikan mereka.
Isu tersebut, katanya, disebabkan kegagalan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melihat keperluan industri dalam melahirkan graduan dari universiti tempatan.
Selain itu, dakwa beliau, kerajaan hari ini juga membuka peluang seluasnya kepada graduan dari China dan Bangladesh yang diberikan graduate pass bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini, sekali gus disifatkan telah mengambil peluang pekerjaan dari anak tempatan.
Dalam masa sama, Haim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah turut mendakwa 21 peratus atau 39,000 tempat di lima buah universiti awam (IPTA) yang sepatutnya diisi pelajar tempatan, tetapi diberikan kepada pelajar asing. – MalaysiaGazette
















