GEORGETOWN – Lipas berkeliaran, tikus berlari di siling dan najis merata-rata.
Itu keadaan menjijikkan yang ditemui di dapur sebuah premis makanan terkenal di Jalan Penang di sini, ketika pemeriksaan penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut hari ini.
Selain lantai dapur berlendir, kotak penyimpanan rempah dipenuhi puluhan lipas dan menjijikkan, bahan mentah seperti daging, ayam serta sotong tidak disimpan di dalam bekas malah ada yang terjatuh di lantai.
Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, M. Shashikumaran berkata, sebanyak 20 kesalahan dikesan dalam pemeriksaan, termasuk pengendali makanan memakai cincin serta berkuku hitam dan kotor.
“Makanan diletak di atas lantai malah terdapat tong sampah di dapur yang tidak ditutup dan diletak bersebelahan kawasan penyediaan makanan.

“Lantai dapur yang pecah turut menakung air, manakala lantai dalam bilik sejuk beku berada dalam keadaan tidak memuaskan,” katanya hari ini.
Tambah beliau, beberapa pengendali makanan juga tidak mendapatkan suntikan anti tifoid, manakala stor penyimpanan bahan makanan tidak disusun dengan bersih dan kemas.
“Pemilik premis dikenakan tiga kompaun berjumlah RM3,000 dan penutupan selama 14 hari berkuat kuasa hari ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Dalam operasi itu, sebuah lagi premis yang menjual hidangan masakan ala Thailand turut diberi notis penutupan sementara selama 14 hari mengikut seksyen sama.
“Pemilik premis terbabit dikenakan sebanyak dua kompaun berjumlah RM2,000 dengan sembilan kesalahan dikesan termasuk penemuan lipas,” katanya. – MalaysiaGazette
















