Zahari melakukan lawatan dan mendengar taklimat di JDV, Mersing , semalam

MERSING – Johor dijangka mampu menghasilkan sembilan juta liter susu segar setahun pada 2026, iaitu peningkatan sekitar 10 peratus kepada pengeluaran susu negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, usaha tersebut dilakukan menerusi produktiviti yang dihasilkan di Kompleks Jemaluang Dairy Valley (JDV) di sini.

“Johor kini menghasilkan sekitar 6.4 juta liter susu setahun dan dengan pengoperasian JDV, kadar pengeluaran akan bertambah kepada sembilan juta liter susu setahun.

“Seterusnya akan meningkatkan jumlah keseluruhan kepada antara 13 hingga 15 juta liter susu menjelang 2027,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengadakan lawatan ke JDV semalam serta menerima taklimat perkembangan semasa projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, pengoperasian JDV bukan sahaja akan mempertingkatkan pengeluaran susu negeri, malah berfungsi sebagai pusat pengumpulan susu segar daripada penternak tenusu di kawasan sekitar.

JDV katanya, merupakan inisiatif strategik hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Beliau memberitahu, JDV dijangka mula beroperasi pada penghujung 2025.

“Bermula Oktober ini, sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu akan dibawa masuk dari Australia secara berperingkat-peringkat bagi mengisi fasa awal operasi,” ujarnya.

Projek itu jelasnya, akan diuruskan Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDVSB), sebuah syarikat usaha sama antara Kulim (Malaysia) Berhad (KULIM) dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd (A2FHSB). Apabila beroperasi sepenuhnya.

Usaha itu katanya, selaras dengan inisiatif kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam meningkatkan sumbangan terhadap produktiviti industri susu.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu, seterusnya menjamin tahap sekuriti makanan negara.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast