KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyemak semula Akta Industri Pelancongan bagi memperkukuh perlindungan pengguna, termasuk membanteras penipuan pakej umrah serta memastikan pengalaman pelancongan lebih selamat dan berkualiti.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap sektor pelancongan di samping memperkukuh kelestarian industri.
“Pertumbuhan pelancongan semata-mata tidak mencukupi tanpa keselamatan dan kualiti.
“Itulah sebabnya semakan akta ini penting untuk melindungi pengguna serta memperkukuh daya tahan industri,” katanya ketika berucap pada Now and Future 2025 Conference and Exhibition sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 hari ini.

Beliau memaklumkan Malaysia menerima 38 juta pelancong pada 2024, melepasi rekod sebelum pandemik dengan peningkatan 35.2 peratus berbanding 2023 dan tambahan 18 peratus dalam separuh pertama 2025.
Namun kejayaan itu mesti disokong dengan agenda kelestarian yang jelas antaranya, MOTAC kini mengguna pakai rangka kerja Measuring Sustainable Tourism (MST) serta mencalonkan Mersing, Johor ke rangkaian UN Tourism INSTO bagi menghubungkan Malaysia dengan amalan terbaik dunia.
Dalam aspek budaya, King Sing menegaskan, kepelbagaian Malaysia adalah kekuatan unik yang menjadi tarikan utama pelancong seperti program seperti Inspitari dan Craft on the Go.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut komited kepada pelan strategik pasca 2025 yang menekankan perjalanan tanpa sempadan, standard seragam dan transformasi hijau, selain memanfaatkan ekonomi digital melalui ASEAN Digital Masterplan dan Digital Economy Framework Agreement (DEFA). -MalaysiaGazette














