Muhamad Akmal hadir ke Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

 

 

KEPALA BATAS – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menuntut penjelasan kelewatan pihak pendakwaan membawa kes individu yang disyaki membalikkan Jalur Gemilang di sebuah kedai perkakasan di Taman Bertam Permata di sini, ke muka pengadilan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, keadaan itu berbeza dengan dirinya yang sudah dibawa ke mahkamah walaupun pihak pendakwa hanya menyediakan sebahagian dokumen manakala selebihnya masih belum diserahkan kepada mahkamah.

Menurutnya, barisan peguamnya kini bersedia untuk melawan kes walaupun pihak pendakwa hanya menyediakan sebahagian dokumen, manakala sebahagian lagi masih belum diserahkan.

“Barisan peguam saya bersedia untuk melawan (pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya) tapi barisan pendakwa hanya berikan sebahagian dokumen saja, sebahagian lagi belum sedia.

“Jadi saya nak tanya juga kes orang yang terbalikkan bendera, polis kata kertas siasatan dah siap dan diserahkan kepada pihak pendakwa raya (DPP).

“Nak tanya DPP, dokumen dah sedia belum? Kalau tak sediakan lagi, kes saya pun tak sedia tapi dah didakwa. Jadi mohon DPP untuk jawab,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook.

Beliau turut menegaskan tidak akan mengalah dalam menghadapi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini menetapkan 10 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Prosiding itu berkaitan pertuduhan beliau mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan tarikh tersebut bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan melengkapkan dokumen yang diperlukan.

Media pada 22 Ogos lalu melaporkan Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka itu didakwa membuat kenyataan berunsur kegusaran awam menerusi akaun Facebook miliknya di pautan https://www.facebook.com/m.akmalsaleh/videos/1091167866480546 jam 3 petang, pada 11 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast