FAHMI Fadzil ketika mengadakan mesyuarat bersama Meta serta wakil-wakil pihak berkuasa pagi tadi. - Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menyifatkan Meta yang mengendalikan media sosial khususnya Facebook gagal membanteras aktiviti jenayah dalam talian.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat 19 September lalu, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada pihak Meta bagi platform Facebook sahaja.

Menurut beliau, jumlah itu mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi.

Daripada jumlah itu, sebanyak 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan, manakala bagi aktiviti scam, daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat sebanyak 36,918 diturunkan.

“Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Fahmi, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayan Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2025 mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta, melibatkan 18,128 kes.

Katanya, jumlah itu menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.

“Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, Meta memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.

Ujar beliau, Meta dan semua platform media sosial lain juga telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan (seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID, antara lain) untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun.

“Ini kerana sistem sedia ada didapati masih gagal menyekat pengguna bawah umur serta gagal melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai,” katanya.

Tegas beliau, Kerajaan Madani tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital dan Meta serta semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan.

Dalam masa sama, ujarnya, Kementerian Komunikasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah pemantauan serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta.

Terdahulu, Fahmi hari ini mengadakan pertemuan dengan pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mesyuarat itu turut disertai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM); Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM; wakil Pejabat Peguam Negara; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Kewangan; Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Pertemuan itu memberi fokus kepada isu-isu kritikal membabitkan platform Meta, khususnya Facebook, termasuklah aktiviti judi dalam talian, penipuan (scam), penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (agama, kaum, raja) serta penjualan produk terlarang (cecair e-rokok mengandungi dadah). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast