KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dibentangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertentangan dengan amalan terbaik dunia dalam menangani masalah perbandaran.
Prof Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Shuhana Shamsuddin berkata, ini kerana tiada perkataan pemaju dalam akta yang berkaitan dengan pembaharuan bandar.
“Tapi kenapa dalam RUU PSB ditekankan masalah ambang persetujuan dan yang menjadi peneraju program pembaharuan bandar dalam RUU itu adalah pemaju.
“Kita tengok praktis dunia terbaik, kalau dilihat di negara lain untuk membolehkan dan kuasa diberi kepada agensi kerajaan sebagai pemandu setiap program pembaharuan semula.
“Jadi kita buang perkataan pemaju, kita masukkan agensi pelaksana sebagai agensi kerajaan,” katanya pada Forum Barisan Nasional ke-8 bertajuk Urbanisasi dan PSB: Survival Melayu Bandar di Menara Dato Onn, di sini, malam ini.

Sebelum ini, RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Dewan Rakyat.
RUU URA antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.
Menurut Shuhana, tiada keperluan untuk menggubal akta baharu itu kerana ia tidak mengatasi masalah perbandaran tempatan, apatah lagi tidak selari program pembangunan mampan seperti mana digariskan dalam Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-HABITAT).
“Amalan terbaik dunia dari segi menangani masalah isu perbandaran dan kenapa pembaharuan bandar salah satu pendekatan diambil.
“Ini kerana ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah keusangan, kedaifan, infrastruktur tak mampu menampung keperluan moden.
“Jadi atasi masalah itu dulu dan menyelesaikan masalah kekurangan rumah untuk golongan B40 dan juga M40,” katanya.
Selain itu katanya, KPKT perlu menyelesaikan masalah pemilikan kediaman mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebelum menggubal akta baharu.
“Kalau kita tengok di bandar sekarang, masalah satu ialah perumahan mampu milik yang disediakan pemaju tidak mampu dimiliki, hanya mampu ditengok sahaja.
“Kalau tengok, golongan profesional duduk di rumah-rumah kos rendah sekarang, termasuk anak saya. Selepas dapat ijazah dan bekerja sebagai profesional, tapi duduk di kawasan flat,” katanya.
Katanya, pemaju tidak terlibat langsung dalam penggubalan akta pembangunan semula bandar, apatah lagi dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk rakyat.
“Jadi pemaju itu dia tak ada terlibat, dia tak masuk dalam apa-apa perbincangan selepas semua telah dipersetujui, penglibatan masyarakat yang sebenarnya.
“Kalau tengok amalan terbaik kaji selidik yang saya buat, dekat UK dan US, bukan setakat diberitahu akan ambil kawasan kerja bangunan, tapi sudah siap ditunjuk pelan induknya, rumahnya, di mana kedudukan.
“Sekarang ini masalahnya yang kita baru cakap A, dia sudah ambil tanah dan kita tak tahu hujung cerita tu macam mana,” katanya. – MalaysiaGazette
















