Kredit: Sekretariat Presiden

JAKARTA – Indonesia bersedia menghantar lebih 20,000 anggota bagi menyokong usaha keamanan di Gaza atau mana-mana zon konflik lain, kata Presiden Prabowo Subianto pada Selasa dalam ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Di Ukraine, di Sudan, di Libya, di mana sahaja keamanan perlu dipertahankan, kami bersedia,” katanya ketika berucap pada sesi ke-80 perhimpunan itu di New York, menurut Sekretariat Presiden.

Prabowo berkata Jakarta bukan sahaja bersedia menghantar pasukan tenteranya, malah turut menyediakan sumbangan kewangan kepada misi keamanan PBB.

“Keselamatan dan keamanan global tidak boleh dipertahankan dengan kata-kata semata-mata, tetapi mesti direalisasikan melalui tindakan konkrit,” tegasnya.

Presiden itu memberi amaran bahawa dunia kini sedang berdepan era konflik, ketidakadilan dan ketidaktentuan yang mendalam.

Beliau turut menegaskan PBB mesti kekal menjadi tonggak keamanan, keadilan dan kebebasan untuk semua negara dan bukannya “keistimewaan segelintir pihak.”

Justeru, Prabowo menggesa agar badan dunia itu diperkukuhkan supaya mampu menangani cabaran global yang semakin kompleks termasuk peperangan, krisis kemanusiaan serta ketidaksamaan sosial dan ekonomi.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast