Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan harta miliknya, termasuk emas digital seberat 716.8 gram dan wang kripto bernilai RM80,000.

Tertuduh, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Shahril Abu Bakar pernah berkhidmat sebagai Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja gagal mematuhi notis bertulis di bawah Seksyen 36(1)(a) akta sama yang dihantar oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat pesuruhjaya pada 30 Mac lalu.

Notis itu menuntutnya mengisytiharkan sepenuhnya sumber serta kedudukan kewangan miliknya.

Antara aset yang didakwa gagal diisytiharkan adalah wang yang dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik syarikat Tahara Services yang didakwa mempunyai kaitan kepentingan dengan tertuduh.

Tertuduh juga mempunyai emas digital yang disimpan melalui platform Public Gold, serta pelaburan wang kripto di platform Luno.

Selain itu, beliau juga didakwa tidak mendedahkan simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM39,198.48, simpanan dalam akaun ASB atas nama anak-anaknya sebanyak RM110,000 serta bayaran pinjaman perumahan berjumlah RM68,000 kepada Affin Islamic Bank bagi sebuah rumah di Johor Bahru.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 28 Jun lalu yang jika sabit salah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.

Hakim membenarkan tertuduh untuk dijamin sebanyak RM15,000 serta melapor diri kepada SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast