PUTRAJAYA – Malaysia dijangka menjadi antara negara yang menggunakan teknologi penyiaran 5G yang tidak lagi bergantung dengan penggunaan wifi atau simkad daripada telco dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sebaliknya menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ia merupakan mod penyiaran masa depan yang secara langsung mempunyai teknologi tersebut daripada peranti.
Buat masa ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membuat kajian kesesuaian pelaksanaannya di dalam negara.
“Ini mungkin kita lihat satu bentu mod penyiaran masa depan. Ia disiarkan tanpa menggunakan telco sebab itu kalau kita lihat aplikasi yang boleh menarik dapat kesan adalah siaran kejohanan sukan yang secara langsung, hari perbarisan, konsert mega.
“Ini satu kemudahan dan fungsi yang boleh kita laksanakan dengan penyiaran 5G dalam masa yang sama MCMC pada waktu ini, sedang teliti beberapa cara untuk menyampaikan amaran awal yang juga tidak menggunakan sistem pesanan mesej ringkas,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Persidangan Penyiaran 5G di Perbadanan Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata, industri yang dijangka akan mendapat manfaat daripada teknologi berkenaan adalah siaran pertandingan kejohanan dan pertunjukan secara besar-besaran.
“Ada beberapa sektor yang kita jangka akan dapat manfaatkan penyiaran 5G dan yang paling semestinya acara-acara sukan, kejohaan, pertandingan yang membolehkan siaran dibuat dengan sangat pantas dan jelas dan daripada pelbagai aspek,” katanya lagi.
Fahmi berkata, buat masa ini, kebanyakan peranti masih belum bersedia untuk teknologi berkenaan kerana ia terlibat dengan penggunaan mod peranti secara langsung.
Bagaimanapun, beliau optimis penggunaannya akan meluas di negara-negara lain menjelang 2030.
“Ini satu bentuk mod penyiaran masa depan. Seawal pun 2027 ada ngeara Eropah akan mulakan antara 2027 ke 2030 kalau nak tengok penggunaannya dan keberkesanannya yang lebih matang,” tambahnya.
Sementara itu, Persidangan Penyiaran 5G yang berlangsung hari ini merupakan lanjutan kepada Kajian Teknologi Penyiaran Masa Hadapan yang telah dijalankan oleh MCMC sejak tahun 2023.
Potensi teknologi baharu seperti Penyiaran 5G antara fokus persidangan tersebut dalam memperkasa industri penyiaran tempatan, termasuk siaran TV, radio dan penstriman digital.
Hasil kajian menunjukkan potensi besar dalam mengoptimumkan infrastruktur penyiaran serta membuka laluan kepada model perkhidmatan baharu yang lebih mampan. – MalaysiaGazette
















