Ketua Sekretariat War Room UMNO Sabah, Datuk Abdul Aziz Julkarnain.

KUALA LUMPU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan tentang pendedahan pengakuan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey G Kitingan yang menerima bayaran RM1.78 juta berhubung skandal perlombongan Sabah.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Sabah, Datuk Abdul Aziz Julkarnain berkata, pengakuan berkenaan merupakan pendedahan serius yang berisiko mencalar prinsip ketelusan dan integriti pentadiran kerajaan negeri di Bawah bayu itu.

“Lebih mengejutkan, pengakuan ini datang daripada seorang pemimpin yang selama ini mendakwa memperjuangkan kedaulatan rakyat Sabah menerusi slogan “Sabah for Sabahan”.

“Slogan tersebut kini semakin kehilangan makna apabila beberapa pemimpin yang turut melaungkan ungkapan “Rumah Kita, Kita Jaga” juga terpalit dengan dakwaan berkaitan urus niaga dan kepentingan ekonomi negeri yang meragukan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, tindakan menerima dana tanpa pengisytiharan terbuka menimbulkan keraguan tentang kemungkinan berlakunya pelanggaran undang‑undang, khususnya di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

“Tanpa dokumentasi sah dan proses pengisytiharan yang telus, penerimaan dana sebegini boleh dianggap sebagai satu bentuk sogokan berkepentingan yang menuntut siasatan segera,” jelasnya.

Sehubungan itu Abdul Aziz berkata, rakyat berhak mengetahui perkara yang sebenar.

Menurut beliau, tindakan undang-undang tanpa kompromi perlu dikenakan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan jawatan sekiranya terbukti seperti yang diperakui olej Jeffrey.

“Sekiranya terbukti wujud unsur pertukaran kepentingan, maka tindakan undang-undang mesti diambil tanpa kompromi, tanpa mengira kedudukan sama ada menteri, wakil rakyat atau sesiapa sahaja dalam kerajaan,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan secara bahawa ahli perniagaan Albert Tei membuat satu lagi pendedahan mengejutkan mengenai skandal perlomobongan di negeri itu.

Albert mendedahkan pengakuan Jeffey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) merangkap Ahli Parlimen Keningau menerusi rakaman video perbualan mereka mengenai pembatalan lesen penerokaan perlombongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast