KUALA LUMPUR – Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak yang terlibat dalam kejadian buli seperti yang tular di media sosial baru-baru ini digantung pengajian selama satu minggu dengan serta-merta.
Selain itu, elaun pelajar terlibat juga dihentikan serta-merta selain mereka perlu melaksanakan kerja amal, melapor diri secara berkala kepada pegawai disiplin dan ditahan outing untuk tempoh sebulan.
Di samping itu, pelajar dan mangsa terlibat juga perlu mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri.
Menurut Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tindakan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri yang bermesyuarat semalam, bagi membincangkan tindakan yang wajar dikenakan terhadap pelajar terlibat.
Menurutnya, KBS memandang serius insiden yang berlaku itu dan menegaskan sebarang perlakuan gurauan yang keterlaluan tidak boleh diterima sama sekali.
“Walaupun dianggap gurauan, budaya seperti ini tidak sihat dan bercanggah dengan nilai institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu menambah, mangsa dalam kejadian tersebut telah menjalani tiga pemeriksaan kesihatan di dua buah klinik namun tiada kecederaan dikesan.
Bagaimanapun mangsa mengalami tekanan emosi dan psikologi selepas kejadian tersebut.
Sementara itu bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang, IKBN akan mengambil beberapa langkah antaranya Unit Hal Ehwal Pelajar dan tenaga pengajar IKBN Miri perlu melaksanakan pemantauan yang lebih kerap dan memberi motivasi kepada pelajar.
Jelasnya, ia supaya mereka dapat berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan walaupun tujuan bergurau.
Selain itu Unit Hal Ehwal Pelajar juga hendaklah mengaturkan sesi kaunseling kepada semua pelajar yang terlibat untuk satu tempoh masa yang munasabah dengan menggunakan perkhidmatan kaunseling daripada Kementerian Pendidikan (KPM) atau Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam masa sama Unit Hal Ehwal Pelajar perlu melantik Pegawai Perhubungan Institut untuk melaksanakan program pencegahan keganasan dan buli bersama ibu pejabat polis daerah (IPD) Miri.
Tambahnya, Unit Hal Ehwal Pelajar perlu mengadakan taklimat dan ceramah berhubung buli yang akan disampaikan oleh polis setiap suku tahun untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada pelajar.
Selain itu, jelasnya, Unit Hal Ehwal Pelajar juga perlu memperluas pelaksanaan peti aduan dan cadangan penambahbaikan di tempat yang senang diakses supaya mereka yang mengalami masalah dapat memberi aduan dengan kadar segera.
“Keputusan-keputusan ini diambil bagi memastikan ia menjadi penghalang kepada kes yang akan datang dan tiada ruang bagi perkara sebegini berlaku lagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















