Jalex Lee

JOHOR BAHRU – Tidak dinafikan sistem subsidi bersasar RON95 atau BUDI Madani RON95 (BUDI95) bakal menimbulkan pelbagai persoalan dan cabaran pada peringkat awal pelaksanaannya nanti.

Lantaran itu, Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, adalah penting memberi ruang serta masa agar BUDI95 dapat dilaksanakan sebelum menambahbaiknya sehingga benar-benar berkesan dan mencapai objektifnya.

“Kerajaan telah berulang kali menunjukkan kesediaan untuk menyesuaikan serta menambah baik dasar selaras dengan keperluan rakyat.

“BUDI95 adalah bukti jelas, bermula daripada manfaat kepada kumpulan tertentu sehinggalah ke arah dasar tiada yang tercicir.

“Saya yakin rakyat Malaysia akan bertindak secara bertanggungjawab dalam memanfaatkan BUDI95,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yakin dari semasa ke semasa, kefahaman rakyat akan bertambah bahawa bantuan kerajaan adalah untuk memenuhi keperluan sebenar rakyat dan sewajarnya digunakan dengan berhemah.

En Xiang berkata, perbincangan mengenai rasionalisasi subsidi RON95 melalui pelaksanaan BUDI95 sejak kebelakangan ini banyak dibayangi dengan nada pesimistik.

Katanya, ramai pengkritik menyuarakan kebimbangan inisiatif itu akan membawa kepada peningkatan penyeludupan serta gejala rasuah yang berleluasa.

Namun demikian, pandangan sedemikian tidak mencerminkan objektif dan hasrat sebenar BUDI95, katanya.

“Di bawah mekanisme subsidi bersifat menyeluruh sebelum ini, peluang untuk berlakunya ketirisan dan salah guna adalah jauh lebih besar,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast