KLUANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terperosok belakang sebuah lori di Kilometer 49.1 Lebuh Raya Utara Selatan di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Kanan Bomba II Shoromi Salih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 4.19 petang.
Berikutan itu katanya, seramai lima angggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS dengan sebuah lori tiga tan jenis Mitsubishi Fuso.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal tersebut melanggar sebelum terperosok di belakang lori,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, penunggang terbabit, Abdol Alim Mutakim yang berusia 59 tahun disahkan meningga dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan (KKM) Layang Layang yang hadir di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak bomba kemudian mengeluarkan mangsa dengan menggunakan satu unit stretcher sebelum mauyat diserahkan kepada pihak polis.
Pemandu tersebut pula, Teng Weng Chia yang berusia 55 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, operasi tersebut tamat pukul 5.41 petang.- MalaysiaGazette
















