Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Kekal, Presint 4 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di 229 Pasar Tani di seluruh negara mencatatkan jualan sehingga RM215 juta sehingga Ogos lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rekod jualan itu melibatkan 5,618 usahawan yang berjaya mencatatkan nilai jualan itu sehingga 65 peratus.

“Sasaran FAMA setakat ini RM330 juta setahun. Bagaimanapun setakat ini kita telah mencapai 65 peratus jualan hasil pertanian di semua Pasar Tani di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Kekal, Presint 4 di sini hari ini.

Mohamad Sabu.

Pasar Tani mula diperkenalkan pada 31 Januari 1985 di Johor Bahru dan telah dirasmikan Anwar ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pertanian ketika itu.

Sejak penubuhannya, Pasar Tani telah berkembang dari 12 kepada 229 lokasi di seluruh negara.

Mohamad juga berkata, Pasar Tani masih menjadi pilihan sebagai ‘pasar pilihan’ masyarakat untuk mendapatkan hasil segar tempatan pada harga berpatutan.

“Pasar Tani kini melangkah ke fasa transformasi dengan pelaksanaan digitalisasi melalui penggunaan sistem transaksi tanpa tunai, kod QR, e-billing serta pengurusan menyeluruh i-Pemasar 2.0.

“Transformasi ini membuktikan komitmen FAMA dalam memperkukuh kecekapan pengurusan, meningkatkan daya saing usahawan serta memenuhi keperluan pengguna yang semakin celik digital,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast