KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin menyelar gesaan UMNO Sabah supaya Pakatan Harapan (PH) memilih sama ada bersama Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah berkata, UMNO Sabah tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan PH termasuk menentukan siapa rakan sekutu gabungan itu pada PRN Sabah kelak.
Apatah lagi PH Sabah sebelum ini sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan GRS dan BN, sekali gus pendirian itu perlu dihormati semua pihak termasuk UMNO Sabah.
“Bagi saya itu bukan urusan UMNO Sabah dan biar pimpinan di peringkat tertinggi yang tentukan. BN dan UMNO Sabah sepatutnya hanya fokus kepada parti mereka sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelu ini, media melaporkan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir supaya PH membuat pendirian yang jelas sama ada menyokong BN atau GRS sekiranya kedua-dua gabungan itu bertembung di mana-mana kerusi pada PRN Sabah akan datang.
Menurut Suhaimi, PH tidak boleh berada dalam keadaan berdiri di dua tepian memandangkan BN dan GRS adalah pihak yang bersaing antara satu sama lain.
Sementara itu, Razeef menegaskan, PH Sabah tidak sepatutnya diheret sama dalam isu perbalahan antara BN dan GRS di negeri tersebut.
“Soal perbalahan BN dan GRS, itu urusan mereka dan jangan heret PH ke dalam masalah yang BN sendiri mulakan kerana ‘kepala batu’ pemimpin mereka di Sabah,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRN-17 Sabah kecuali dengan GRS.
Menurut Ahmad Zahid, pendekatan kerjasama itu selaras dengan prinsip BN untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang berpotensi dimenangi khususnya melalui pakatan dengan rakan-rakan politik seperti PH serta pihak lain yang sehaluan. – MalaysiaGazette
















