Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, ahli Lembaga Pengarah (BoD) SRC International Sdn. Bhd. tidak boleh lepas tangan terhadap kerugian AS$1.18 billion yang dialami syarikat itu tanpa melakukan siasatan lanjut.

Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah, mereka perlu dipertanggungjawabkan dalam kes saman SRC International yang difailkan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Nik Faisal Ariff Kamil.

Hujah beliau, ahli BoD tidak boleh menjadikan alasan berdasarkan `khayalan’ bahawa mereka khuatir akan dipecat jika tidak menurut arahan bekas Perdana Menteri yang juga pemegang saham tunggal melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Oleh yang demikian, hujah Muhammad Farhan, tidak munasabah jika ahli BoD berdiam diri terhadap isu kewangan syarikat dan hanya mematuhi arahan secara membuta tuli.

“Jika hilang jawatan sekali pun, mereka masih mempunyai cara atau remedi lain termasuk membawa pemecatan itu ke Mahkamah Perusahaan.

“BoD ketika itu perlu bebas daripada tekanan dalam melaksanakan amanah dan kewajipan fidusiari,” hujahnya.

Sementara itu, peguam, Chong Yik Loong yang mewakili salah seorang pihak ketiga dalam saman itu berhujah, anak guamnya bukan pengarah bukan eksekutif dan tidak diwajibkan untuk terlibat dalam perkara berhubung hal ehwal syarikat.

Beliau juga berhujah, ahli BoD tidak bertanggungjawab untuk mengadu ke peringkat atasan dan mengesahkan atau menyiasat apa yang dimaklumkan kepada mereka oleh pengurusan syarikat.

Selesai mendengar penghujahan pihak-pihak, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang mengemukakan hujahan dan memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk menyampaikan keputusan.

Mahkamah mendengar penghujahan dalam kes saman difailkan SRC International terhadap Najib dan Nik Faisal ekoran kerugian syarikat sebanyak AS$1.18 bilion akibat pelanggaran tugas dan amanah itu.

Pada 7 Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baharu mengemukakan saman atas dakwaan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC selaku plaintif juga memohon perintah supaya Najib membayar AS$120 juta dan Nik Faisal membayar AS$2 juta kepada SRC International.

Dalam kes saman itu, bekas ahli BoD iaitu Datuk Suboh Md Yassin; Tan Sri Ismee Ismail; Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin; Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar turut dinamakan sebagai pihak ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast