Logo AADK
Agensi Anti dadah Kebangsaaan

KUALA LUMPUR – Pemasangan kira-kira 550 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik lokap berpusat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mampu meningkatkan ketelusan operasi, mencegah insiden yang tidak diingini di samping meminimumkan kesilapan manusia.

AADK dalam kenyataannya berkata, pemasangan CCTV itu juga mampu memberikan pengawasan yang lebih cekap dengan mengadaptasi teknologi moden seperti AI.

Tambahnya, projek tersebut adalah sebagai langkah pencegahan (preventive approach) bagi memastikan semua tahanan di lokap AADK berada dalam keadaan selamat dan hak asasi mereka terpelihara.

Ini selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan standard antarabangsa.

“Langkah ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI khususnya Kementerian Dalam Negeri dalam memodenkan fasiliti tahanan AADK serta memastikan keselamatan dan pengurusan tahanan dijalankan dengan penuh integriti,” katanya.

Tambah AADK, usaha itu juga selaras dengan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang telah dikuat kuasa pada 22 Ogos lalu.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional mengumumkan kelulusan bagi pelaksanaan pemasangan  CCTV berteknologi tinggi di kesemua 18 fasiliti lokap berpusat AADK di seluruh negara.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif strategik itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) untuk meningkatkan integriti, akauntabiliti, dan ketelusan dalam urus tadbir agensi penguatkuasaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast