KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mula digunakan secara rasmi hari ini.
Dalam kenyataan media, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah kerajaan itu membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, khususnya melalui sokongan kepada PDRM.
“Sokongan bersepadu dan penghargaan kerajaan kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat dilihat melalui pelaksanaan BUDI95 yang diberikan.
“PDRM yakin inisiatif ini dapat menyuntik semangat dan motivasi warga kerja PDRM sekali gus akan memberi nilai tambah kepada keberkesanan operasi PDRM demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, di bawah inisiatif BUDI95, seramai 300,000 warga ATM dan PDRM layak membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.05, bermula hari ini.
Program subsidi bersasar itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu dan dilaksanakan secara berperingkat.
Inisiatif BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat, dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok, sebelum diperluas kepada warga Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 September ini.
Melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia layak membeli hingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar RM1.99 seliter. – MalaysiaGazette
















