Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Satu siasatan bebas melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak berkuasa berkaitan berikutan penggantungan tujuh pemain skuad Harimau Malaya apabila persatuan itu didakwa mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insiden sebegini tidak pernah berlaku dan ia menampakkan persatuan itu hilang kawalan, lemah dalam pentadbiran dan gagal memastikan setiap proses didokumenkan secara telus dan sah.

Menurut beliau, skandal itu bukan sekadar isu teknikal dan ia seolah-olah satu pengkhianatan terhadap integriti sukan negara.

Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga tidak boleh berdiam diri. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu segera tampil memberi penjelasan apakah langkah yang akan diambil untuk memulihkan integriti bola sepak negara

“Soalnya, siapa yang membenarkan dokumen palsu ini diproses? Apakah ada unsur kecuaian, atau lebih buruk lagi, unsur penipuan yang disengajakan?.

“Justeru kepimpinan FAM hari ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya, tidak memadai dengan hanya merayu keputusan FIFA semata-mata,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Selain itu, FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) dengan setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Takiyuddin yang merupakan Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, FAM mesti bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak memadai dengan hanya merayu keputusan FIFA semata-mata.

“Jika terbukti ada individu tertentu yang bersalah, mereka mesti dikenakan tindakan sewajarnya tanpa kompromi,” ujarnya.

Menurut Takiyuddin, rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tempatan amat kecewa dengan insiden memalukan ini kerana nama baik negara telah dipalit dengan aib di pentas antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast