Pereka Fesyen, Razman dan Razmi. Ihsan Foto: Laman sosial Razman Razmi

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen duo, Razman Razmi menegaskan mereka tidak pernah mengenali atau bekerjasama dengan pelakon Datin Intan Najuwa seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak di media sosial.

Malah, lebih dikesalkan apabila nama mereka terus dikaitkan dengan kontroversi pereka fesyen yang didakwa gagal melunaskan hutang.

“Kami tak kenal beliau, tak pernah pun kerjasama. Cukuplah. Peminat fanatik fashion designer belah sana, tak percaya sudah. Tunggu tuan punya badan yang uruskan. Siapa berak tahi tengah jalan, dia yang kena mengaku.

“Bagilah kami ruang untuk jaga kesihatan kami dan fokus pada bisnes yang sudah 26 tahun kami bina,” katanya dalam hantaran di laman sosial Instagram, hari ini.

Razman dan Razmi juga menjelaskan, kehidupan mereka tidaklah semewah seperti yang digambarkan, sebaliknya bersyukur dengan rezeki yang ada sambil menghargai sokongan pelanggan setia.

“Hidup kami tak ada mewah mana pun, tapi syukur dengan apa yang ada.

“Buat pelanggan yang selalu hadir memberi sokongan kepada Razman Razmi, terima kasih kerana sentiasa ada waktu susah dan senang,” katanya lagi.

Terdahulu, Razman dan Razmi dikecam selepas segelintir pihak mengaitkan mereka dengan pendedahan Intan Najuwa mengenai seorang pereka fesyen terkenal yang gagal melunaskan pinjaman seperti termaktub dalam kontrak.

Dakwaan tersebut menyebabkan pelbagai gambar dan kenyataan berunsur fitnah disebarkan di media sosial hingga menjejaskan kesihatan mental mereka.

Pelakon itu mendedahkan isu hutang ini telah berlarutan selama beberapa tahun sehingga menjejaskan hubungan baik di antara beliau dan pereka fesyen berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast