HANOI – Sekurang-kurangnya dua orang maut dan 17 lagi hilang selepas Taufan Bualoi melanda Vietnam pada ini menyebabkan rumah rosak dan rangkaian elektrik terputus ketika ribut membawa hujan banjir dan ombak besar sebelum sedikit kekuatannya mereda ketika menuju ke Laos.
Taufan itu melanda wilayah Nghe An setakat 8 pagi waktu tempatan, dengan kelajuan angin maksimum merosot kepada 88 kilometer sejam (kmj) daripada 117kmj apabila ia mendarat beberapa jam lebih awal, menurut agensi ramalan cuaca negara.
Sebelum mendarat, Taufan Bualoi telah bergerak di sepanjang pantai negara selama beberapa jam, menyebabkan ombak setinggi 8m, menurut agensi cuaca negara.
Seorang maut selepas terperangkap dalam air banjir di bandar Hue, dan seorang lagi maut dihempap pokok tumbang di wilayah Thanh Hoa, kata agensi pengurusan bencana kerajaan.
Seramai 17 nelayan hilang selepas ombak besar melanda dua bot nelayan di luar wilayah Quang Tri, manakala sebuah lagi bot nelayan terputus hubungan semasa ribut, menurut agensi itu.
Menjelang jam 11 pagi, taufan itu bergerak merentasi wilayah Nghe An ke Laos, dengan kelajuan angin maksimum merosot kepada 74kmj daripada 117kmj apabila ia mendarat, kata agensi cuaca.
Taufan Bualoi setakat ini telah merosakkan 245 rumah, menenggelamkan hampir 1,400 hektar padi dan tanaman lain, dan memutuskan akses ke beberapa kawasan, kata agensi pengurusan bencana dalam satu laporan.
Tiada kerosakan besar pada hartanah perindustrian disebut dalam laporan itu, walaupun terdapat beberapa kilang besar di dalam atau berhampiran laluan Taufan Bualoi, termasuk yang dimiliki oleh Foxconn, Luxshare, Formosa Plastics dan Vinfast.
Kerajaan Vietnam telah elah memindahkan lebih 28,500 orang, manakala ratusan penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan kerana empat lapangan terbang di wilayah tengah ditutup sebelum taufan melanda.
Taufan berkenaan telah mencetuskan hujan lebat di kebanyakan Vietnam sejak Sabtu, dan pihak berkuasa telah memberi amaran tentang risiko banjir dan tanah runtuh yang teruk.
Hujan di beberapa bahagian negara diramalkan mencecah 500mm dari malam Ahad hingga Selasa, menurut agensi cuaca.
Dengan garis pantai yang panjang menghadap Laut China Selatan, Vietnam terdedah kepada taufan yang sering terbentuk di timur Filipina.
Lebih 100 orang di negara itu terbunuh atau hilang akibat bencana alam dalam tujuh bulan pertama 2025, menurut kementerian pertanian dan mengalami mengalami kerugian ekonomi AS$3.3 bilion pada September lalu akibat Taufan Yagi, yang melanda utara negara itu dan menyebabkan ratusan maut. – Agensi
















