Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, membenarkan aktivis Rafidah Ibrahim memasukkan kehadiran dalam kes saman fitnah yang dikemukakan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkaitan isu Kampung Sungai Baru.

Peguam Zulhazmi Shariff yang mewakili Khalid memberitahu pihak media, notis kehadiran difailkan melalui Tetuan Zharif Nizamuddin yang baru dilantiknya, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya membantah notis kehadiran tersebut atas alasan ia dimasukkan melebihi tempoh yang ditetapkan dan mahukan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Rafidah, diteruskan.

“Mahkamah bagaimanapun menggunakan budi bicara di bawah Aturan 12 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

:Jadi kehadiran Rafidah diterima, namun mengikut Aturan 12 Kaedah 5, Rafidah tidak boleh memfailkan pembelaan kecuali dibenarkan oleh mahkamah.

“Kami mohon mahkamah arahkan peguam Rafidah fail permohonan kebenaran memfailkan pembelaan,” ujarnya sewaktu prosiding pengurusan kes dikendalikan Penolong Kanan Pendaftar, Syalia Ain Zainuddin yang berlangsung hingga lewat petang ini.

Peguam, Zulhazmi Shariff bercakap pada sidang media mengenai pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, Khalid sudah memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Rafidah berhubung kes saman fitnah terhadapnya.

Zulhazmi memberitahu, notis permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi, di sini, ekoran kegagalan aktivis itu selaku defendan memasukkan notis kehadiran berkaitan saman tersebut.

Beliau menjelaskan, Rafidah mempunyai tempoh 14 hari untuk memasukkan kehadiran bermula dari notis serahan ganti dikeluarkan pertengahan bulan lalu, namun tempoh itu telah tamat.

“Defendan sepatutnya memfailkan kehadiran atau melantik peguam sebelum Jumaat lalu untuk menjawab saman fitnah yang difailkan terhadapnya.

“Namun hingga kini (semalam), dia enggan berbuat demikian dan tidak mahu menerima saman itu meskipun kami telah menyerahkan writ saman melalui penyampaian ganti.

“Oleh yang demikian kami telah memfailkan perakuan ketidakhadiran, afidavit penyampaian ganti dan notis penghakiman ingkar terhadapnya,” ujar beliau ketika dihubungi portal ini semalam.

Penghakiman ingkar kehadiran (JID) ialah keputusan mahkamah yang dikeluarkan terhadap defendan yang gagal memasukkan kehadiran atau pembelaan mereka dalam tempoh yang ditetapkan selepas diserahkan writ saman atau saman pemula.

Kegagalan ini menunjukkan defendan tidak memberi maklum balas atau mempertahankan kes mereka, yang boleh mengakibatkan penghakiman muktamad atau interlokutori, serta tindakan penguatkuasaan seperti penyitaan harta benda dan tindakan mahkamah.

Rafidah Ibrahim

Zulhazmi menjelaskan, pihaknya memfailkan notis serahan penyampaian ganti melalui siaran akhbar, tampalan notis di mahkamah dan di alamat kediamannya, namun Rafidah enggan menerimanya.

Semakan portal ini menunjukkan, afidavit penyampaian ganti melalui penampalan writ saman dan pernyataan tuntutan telah diletakkan di Papan Kenyataan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan di alamat terakhir defendan pada 13 Ogos dan 14 Ogos lalu serta difailkan pada 20 Ogos lalu.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 8 Mei lalu, Khalid menegaskan pada 14 April lalu, defendan bertanggungjawab menyebabkan tersiarnya melalui satu video di dalam akaun Tiktok tersebut, pernyataan-pernyataan yang secara jelas tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah serta memburuk-burukkan plaintif.

Plaintif menegaskan, selepas video itu tersebar, defendan masih mengulangi pernyataan yang sama dan pada 21 April lalu, defendan sekali lagi menyebabkan tersiarnya melalui satu video di dalam akaun Tiktok tersebut.

Ujar Khalid, defendan melalui video yang dimuatnaik di akaun Tiktok tersebut dalam makna lazim atau secara langsung secara keseluruhannya memberikan gambaran buruk, tidak benar, melulu, kasar dan bersifat fitnah terhadap plaintif.

Ini kerana plaintif hanya memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dari 2 Julai 2018 hingga 24 Februari 2020.

Plaintif juga menegaskan bahawa tidak pernah ada sebarang cadangan mahupun keputusan pada ketika itu untuk menghilangkan atau dalam kata lain menghapuskan tanah rizab Melayu sama ada di Kampung Sungai Baru mahupun di keseluruhan Kampung Baru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast