Kehadiran tiga pasangan kembar mewarnai kampus UMT.

KUALA NERUS- Suasana pendaftaran pelajar baharu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ini meriah dengan kehadiran tiga pasang kembar yang sama-sama melangkah ke alam universiti.

Fenomena unik ini bukan sahaja mencuri tumpuan warga kampus, malah turut meninggalkan memori manis buat keluarga serta rakan-rakan yang hadir mengiringi mereka.

Bagi pasangan kembar seiras, Muhammad Darwisy Danial Azharuddin dan Muhammad Danish Danial, 20 tahun, dari Setiu, Terengganu, langkah pertama ke UMT bagaikan perjalanan baharu yang tetap mahu ditempuhi bersama.

Sejak kecil, mereka melalui hampir setiap fasa kehidupan berdua daripada prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah kini di universiti, apabila kedua-duanya ditawarkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim).

“Kalau orang nampak kami sama, memang betul cara belajar, hobi, malah keputusan peperiksaan pun hampir serupa. Cikgu dulu pun selalu tersalah panggil nama. Bezanya di UMT, kami dapat bilik berasingan, tapi masih dalam blok yang sama, jadi tetap dekat,” kata Muhammad Darwisy Danial, sambil menambah UMT sememangnya menjadi pilihan pertama mereka ketika pemilihan UPU.

Bagi ibu bapa mereka, kegembiraan ini tidak dapat digambarkan.

Menurut bapa mereka, Azharuddin Abdullah, 53 tahun, penempatan anak-anak di universiti yang sama bukan sahaja memudahkan urusan keluarga, malah memberi keyakinan bahawa kedua-duanya dapat saling menjaga antara satu sama lain.

“Rasa lega bila tahu mereka ditempatkan di universiti yang sama. Sebagai ibu bapa, tentulah hati lebih tenang,” ujar beliau penuh syukur.

Kegembiraan serupa turut dikongsi pasangan kembar seiras dari Kuantan, Pahang iaitu Nur Auni Fatihah Muhd Rahman dan Nur Auna Fikriyah, 19 tahun.

Mereka sama-sama menuntut di Kolej Matrikulasi Pahang sebelum kini meneruskan langkah di UMT dalam bidang Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian.

Pasangan ini, anak kepada Muhd Rahman Wahid dan Norliza Ali, 48, juga tidak pernah berpisah sejak kecil.

“Kami rasa lebih yakin bila bersama, dan semoga UMT jadi tempat terbaik untuk kami serlahkan potensi masing-masing,” kata Auni dengan penuh semangat.

Turut mencuri perhatian ialah pasangan kembar ketiga, Ahmed Emman Shafizie Sazali dan Ahmed Emran Shafizie, 22 tahun, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Berbeza dengan dua pasangan kembar sebelumnya, mereka memilih haluan pengajian yang berlainan apabila Ahmed Emman Shafizie menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) Dengan Kepujian yang merupakan program baharu ditawarkan bermula sesi 2025/2026.

Manakala kembarnya Ahmed Emran Shafizie, mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Elektronik dan Instrumentasi) dengan Kepujian.

Meskipun berbeza jurusan, kedua-duanya tetap bersyukur kerana masih di universiti yang sama. Bagi mereka, langkah ini bukan sekadar menyambung pengajian, tetapi juga satu peluang untuk saling menyokong dan melengkapi antara satu sama lain.

“Kami mahu buktikan bahawa walaupun bidang pengajian kami berbeza, semangat dan tekad untuk berjaya tetap seiring. Insya-Allah kami akan terus berusaha mencapai kecemerlangan masing-masing,” ujar mereka yang sebelum ini mengikuti pengajian
peringkat Diploma Teknologi elektrik, di Politeknik Kota Bharu.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyifatkan kehadiran tiga pasang kembar serentak ini sebagai satu keistimewaan yang menambah warna-warni suasana kampus. Walaupun setiap tahun ada sahaja pelajar kembar mendaftar, namun kali ini menjadi lebih bermakna dengan jumlah yang lebih ramai.

Mereka merupakan antara 2,105 pelajar baharu yang telah mendaftar di UMT bagi Sesi Akademik 2025/2026.

Pada kali ini, UMT turut memperkenalkan tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan
(Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast