LONDON – Sebuah mahkamah diberitahu bahawa pihak berkuasa United Kingdom (UK) cuba mendapatkan semula £16.2 juta (AS$21.7 juta) daripada seorang individu warga Malaysia dalam penipuan Bitcoin.
Hok Seng Ling, 47 mengaku melakukan pengubahan wang haram di Mahkamah Southwark, London.
Beliau mengaku bersalah menerusi seorang penterjemah.
Pengakuan dilakukan sehari selepas seorang ahli perniagaan warga China, Zhimin Qian yang juga dikenali sebagai Yadi Zhang, yang merupakan dalang utama mengaku memainkan peranan utama dalam skim penipuan Bitcoin bernilai berbilion Pound.
Ling yang tinggal di Derbyshire, tengah England, melakukan urus niaga matawang kripto bagi pihak Qian dengan rampasan sedang dilakukan bagi mendapatkan semula berjuta-juta Pound, menurut perbicaraan mahkamah.
Jumlah tersebut boleh diubah apabila kedua-dua individu terbabit dijatuhkan hukuman dalam perbicaraan selama dua hari pada 10 dan 11 November depan.
Pada Isnin lalu, Qian, 47, mengaku bersalah memperoleh dan memiliki harta jenayah, mata wang kripto, yang dipercayai rampasan matawang kripto tunggal terbesar dunia bernilai kira-kira £5.5 billion.
Polis berkata, wanita tersebut telah memperdayakan lebih 128,000 mangsa menerusi skim di China antara 2014 hingga 2017.
Beliau menyimpan dana haram yang diperoleh pada aset Bitcoin sebelum melarikan diri ke UK dan cuba melakukan pengubahan wang dengan membeli hartanah.
Sebagai sebahagian daripada siasatan yang dlakukan selama tujuh tahun pada tahun lalu, individu ketiga, Jian Wen dijatuhkan hukuman penjara enam tahun lapan bulan kerana peranannya dalam operasi jenayah itu.
“Pengubahan wang haram menghakis kepercayaan, melemahkan ekonomi kita dan meningkatkan jenayah terancang.
“Kasannya ini menghantar isyarat jelas UK tidak akan menjadi syurga untuk penjenayah dan pendapatan haram,” kata Menteri Keselamatan, Dan Jarvis.
Semalam, pendakwaraya berkata, Ling mengambil alih peranan Wen selepas wanita itu ditahan.
Para penyiasat berkata, mereka telah membuktikan Wen terlibat dalam menyediakan pergerakan dompet matawang kripto yang mengandungi 150 Bitcoin bernilai £1.7 juta ketika itu.
Ling yang dipercayai menjadi pembantu Qian berperanan menukar wang kepada matawang kripto.
Ling dan Qian kekal ditahan sehingga hukuman dilaksanakan. – AFP
















