KUALA LUMPUR – Usaha pelikuidasi asing untuk mendapatkan semula dana yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menemui jalan buntu apabila Mahkamah Tinggi Singapura menolak tuntutan mereka terhadap dua institusi kewangan, Standard Chartered dan BSI Bank.
Hakim Aidan Xu dalam keputusannya berkata, undang-undang insolvensi rentas sempadan di bawah Akta Insolvensi, Penstrukturan Semula dan Pembubaran 2018 tidak boleh digunakan ke atas transaksi yang berlaku sebelum akta tersebut dikuatkuasakan.
Straits Times melaporkan tindakan undang-undang itu difailkan oleh pelikuidasi Blackstone Asia Real Estate Partners dan Brazen Sky, dua entiti yang terbabit dalam aliran dana 1MDB.
Peguam mereka berhujah urus niaga lama itu wajar dibatalkan kerana dipercayai meragukan serta mengakibatkan aset dipindahkan daripada pihak pemiutang.
Namun, mahkamah berpihak kepada hujahan bank bahawa akta tersebut tidak bersifat retroaktif.
“Mahkamah hanya melaksanakan apa yang termaktub dalam undang-undang. Sebarang perubahan adalah tanggungjawab Parlimen,” kata Hakim Xu ketika membacakan keputusan.
Dalam pada itu, hakim mengakui keputusan itu mengehadkan pilihan pelikuidasi, yang kini berdepan prosiding lebih rumit serta memerlukan kos dan masa tambahan jika ingin meneruskan tuntutan lain di Singapura.
Pelikuidasi sebelum ini berhujah bahawa Perkara 21 dalam akta berkenaan sepatutnya membolehkan mereka mengemukakan tuntutan terhadap transaksi lama bagi memastikan pihak terbabit dalam skandal 1MDB dipertanggungjawabkan.
Bagaimanapun, mahkamah menegaskan tafsiran yang lebih tepat ialah melalui Perkara 23(9), yang tidak membenarkan penguatkuasaan undang-undang secara ke belakang.
Keputusan ini dijangka memberi kesan kepada strategi pemulihan aset 1MDB melalui prosiding di Singapura, kerana mekanisme undang-undang yang lebih ringkas tidak lagi boleh digunakan.
Bagaimanapun, pelikuidasi masih boleh meneruskan tindakan di mahkamah republik itu, cuma tanpa kelebihan prosedur yang dipermudahkan. -MalaysiaGazette
















