KAJANG – Penduduk di kawasan Prima Saujana, di sini, merayu agar Kerajaan Negeri Selangor menerusi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan segera terhadap beberapa isu infrastruktur yang menjejaskan keselamatan dan kelancaran trafik di kawasan perumahan mereka.
Wakil penduduk, Francis Xavier berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah cadangan merobohkan bulatan di Jalan Prima Saujana 5/1 yang disifatkan tidak sesuai khususnya bagi lori dan bas.
“Bulatan itu terlalu sempit dan sering menyebabkan kenderaan berat memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan pemanduan, malah berisiko berlaku kemalangan terutama pada waktu puncak dan hujan lebat,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah beliau, penduduk turut memohon agar laluan di Jalan Prima Saujana 4/4 yang kini ditutup dibuka semula bagi kegunaan awam.
Katanya, jalan itu berpotensi menjadi akses penting untuk mengurangkan kesesakan, khususnya ketika waktu sibuk pagi dan petang.
“Sekarang kami terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan sesak sekali gud meningkatkan kos bahan api serta menjejaskan keselamatan jika berlaku kecemasan.

“Selain itu, kami mohon batu penghalang konkrit setinggi lima kaki dipasang bagi mengelakkan pencerobohan dan jenayah kecil susulan akses terbuka di sepanjang lebuh raya arah Semenyih ke Kajang.
“Justeru kami berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan cadangan dan melaksanakan penyelesaian sewajarnya demi keselamatan serta keselesaan penduduk setempat,” katanya. – MalaysiaGazette
















