Chuan Chin Ghee didakwa di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Seorang peniaga kuih bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan pemindahan wang syarikat berjumlah lebih RM1.9 juta ke akaun bank miliknya.

Tertuduh, Chuan Chin Ghee, 29, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai akauntan didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat 231 kali pemindahan wang berjumlah RM1,919,899.55 daripada akaun bank syarikat ke akaun bank miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan it antara 6 November 2020 hingga 22 Mei 2023 di Wings Freight Express Sdn. Bhd. di Batu Maung di sini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam M. Puveneswaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan jaminan bukan satu bentuk hukuman, selain anak guamnya sudah berkahwin dan baru menimang cahaya mata sulung dua bulan lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, beserta syarat tambahan seperti yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Kes akan disebut semula 13 November depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast