Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

KERAJAAN negeri Kedah pimpinan Pas-Perikatan Nasional (PN) telah mencapai usia dua tahun selepas kemenangan besar pada PRN-15 tahun 2023 pada ogos lalu.

Jika dihitung permulaan kerajaan Pas Kedah sejak tahun 2020 yang ‘bermenteri besarkan’ Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, usianya sudah mencecah lima tahun.

Pelbagai cabaran getir termasuk serangan politik dan fitnah peribadi yang cuba mencalar integritinya namun setakat kini ia masih belum berjaya.

Beliau masih kekal teguh memimpin malahan berjaya menukar tekanan politik kepada kelebihan yang akhirnya memperkukuh sokongan rakyat.

Cubaan memburukkan imej kerajaan Pas tidak berjaya, sama ada melalui tindakan undang-undang atau dalam penilaian awam.

Kajian persepsi rakyat oleh Yayasan Strategik Lestari (YSL) dengan aras kebolehpercayaan 95 peratus membuktikan bahawa keyakinan masyarakat Kedah masih kukuh.

Demografi kajian melibatkan 64 peratus lelaki dan 36 peratus wanita, dengan majoriti bekerja di sektor swasta (30 peratus), diikuti bekerja sendiri (27 peratus) dan pelajar (17 peratus).

Data ini mengisyaratkan sokongan kepada Pas merentasi pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda yang bakal menjadi faktor penentu dalam pilihan raya akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengetip kad perakam waktu selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-15 di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2023.

Pendekatan Politik Berkebajikan

Penerimaan rakyat terhadap kerajaan negeri bukan sahaja kerana imej integriti, tetapi juga hasil pendekatan pemimpin PAS yang kerap turun padang.

Kajian lapangan menunjukkan 90 peratus responden menganggap Pas sebagai parti bebas rasuah, manakala 96 peratus menilai Pas sebagai parti yang paling aktif bersama rakyat.

Pendekatan ini diterjemahkan melalui pelbagai bentuk bantuan seperti khairat kematian, program kebajikan Beras Sejahtera dan inisiatif komuniti di setiap kawasan DUN.

Sebaliknya, UMNO mahupun rakan bersekutu mereka dalam kerajaan pusat, PKR masih belum mampu menandingi jentera Pas di lapangan.

Hal ini disebabkan kedua-dua parti ini masih bergelut dengan isu dalaman yang melemahkan jentera mereka di akar umbi.

Ahli bawahan UMNO masih merasakan penyertaan mereka kedalam kerajaan bersama DAP semakin menyukarkan jentera mereka meyakinkan rakyat terutamanya orang Melayu manakala kesan pemilihan parti mencetuskan perpecahan PKR kepada dua kem.

Justeru, Pas dilihat lebih menyerlah dengan politik kebajikan dan kerja lapangan, menjadikan mereka lebih dekat di hati masyarakat.

Kefahaman Dasar kerajaan penentu masa depan

Walaupun 90 peratus responden menyatakan puas hati dengan prestasi keseluruhan kerajaan negeri, masih wujud kelemahan dalam aspek kefahaman rakyat terhadap dasar dan polisi kerajaan.

Hanya sekitar 60 peratus responden benar-benar mengetahui visi, misi dan program pembangunan negeri, manakala selebihnya masih kabur walaupun terdiri daripada kelompok berpendidikan dan penduduk bandar.

Keadaan ini berpotensi memberi ruang kepada lawan politik untuk memanipulasi ketidaktahuan rakyat.

Oleh itu, jentera penerangan Pas perlu mempergiatkan usaha mendidik rakyat tentang hala tuju negeri, termasuk visi The Greater Kedah.

Dasar yang difahami dengan jelas akan menjadikan rakyat lebih mampu menilai prestasi kerajaan secara objektif, sekali gus menutup ruang fitnah, malah pemahaman ini juga akan memperkukuh perpaduan rakyat dalam menyokong pentadbiran negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hadir sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

Integriti dan berkebajikan jadi pilihan

Di sebalik cubaan pihak lawan cuba mencalarkan imej kerajaan negeri dengan pelbagai dakwaan, seperti kecurian  sumber nadir bumi (REE), kegagalan kerajaan menyiapkan projek loji bekalan air dan pelbagai lagi dakwaan, rakyat negeri Kedah masih menilai kerajaan masih lagi kerajaan yang terbaik pernah dimiliki mereka setakat kini.

Sebanyak 70 peratus dari responden mengakui mereka berpuas hati dan 19 peratus sangat berpuas hati, dengan prestasi keseluruhan kerajaan.

Jika dinisbahkan dengan markah peperiksaan, maka kerajaan Kedah telah mendapat markah A bagi prestasi keseluruhan.

Ini selari dengan keputusan di mana sebanyak 80 peratus responden percaya kerajaan negeri melaksanakan manifesto yang dijanjikan.

Lebih meyakinkan, 88 peratus responden menyatakan hasrat untuk terus mengundi kerajaan negeri sedia ada dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Angka ini menegaskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Pas dan Muhammad Sanusi dalam memperlihatkan keprihatinan menjaga rakyat dan juga Khazanah negeri.

Hampir 70 peratus responden sangat menghargai langkah kerajaan menjaga kebajikan dan kepimpinan berintegriti (65 peratus).

Walaupun kelemahan dikenal pasti beberapa sektor seperti pembangunan belia, kebersihan dan keberkesanan perkhidmatan awam, isu ini dilihat kecil berbanding kelebihan utama kerajaan negeri.

Kekuatan kerajaan Kedah juga dibantu dengan imej Muhammad Sanusi yang dikenali sebagai ‘MB Rakyat’.

Sifat beliau yang dekat dengan kehidupan masyarakat, berjiwa sederhana di lapangan serta lantang bersuara di peringkat nasional memberi kesan langsung kepada penerimaan rakyat Kedah yang melihat beliau bukan sahaja sebagai pemimpin politik tetapi sebagai tokoh yang mempertahankan maruah negeri.

Secara keseluruhannya, serangan politik dan fitnah yang dihadapi Pas Kedah tidak menjejaskan keyakinan rakyat.

Sebaliknya, kepimpinan Muhammad Sanusi terus diperkukuh dengan sokongan majoriti masyarakat.

Dengan tahap kepuasan mencecah 80 peratus dan kecenderungan tinggi rakyat untuk mengekalkan kerajaan PAS di Kedah jelas bahawa Muhammad Sanusi berjaya membina imej kepimpinan yang berintegriti, berjiwa rakyat dan bebas rasuah.

Namun kelemahan dalam komunikasi dasar perlu ditangani segera supaya rakyat benar-benar memahami visi dan misi pembangunan negeri.

Sekiranya jurang ini ditutup, Pas Kedah bukan sahaja mampu mengekalkan momentum sokongan, malah berpotensi menambah kekuatan dalam PRU akan datang.

Kajian ini akhirnya menegaskan bahawa Muhammad Sanusi telah menjadi ikon kepimpinan rakyat Kedah yang berjaya mengubah cabaran menjadi peluang serta mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri.

 

Dr Mukhtaruddin Musa
Pengarah Urusan
Yayasan Strategik Lestari (YSL)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast