GEORGE TOWN – Seorang tukang kayu dihukum penjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu bagi mendapatkan kad pengenalan seorang kanak-kanak tahun lalu.
Majistret Nur Fadrina Zulkhairi menjatuhkan hukuman itu ke atas Goh Cheng Tiam, 59, sleepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberikan maklumat tidak teratur dan palsu dalam butir material semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak di kaunter Cawangan UTC Negeri Pulau Pinang antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 29 Februari tahun lalu.
Kes berkenaan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas wajah kanak-kanak itu tidak seiras dengan dirinya dan isteri sebelum dirujuk kepada bahagian siasatan JPN.
Hasil semakan di hospital mengesahkan tertuduh bukan bapa kandung pemohon kad pengenalan terbabit.
Ketika Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Hairul Faiz Hairun memohon hukuman setimpa sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat memandangkan kes seumpama itu semakin meningkat dilaporkan ketika ini.
Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu agar hukuman diringankan atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan termasuk dua anak yang masih bersekolah. – MalaysiaGazette
















