MELAKA – Seorang pemandu nyaris maut selepas keretanya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Krubong, Kampung Krubong, di sini yang disedari kaki pancing petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 petang memaklumkan kejadian.
“Bagaimanapun hasil semakan mendapati, kejadian sebenarnya berlaku semalam tetapi hanya disedari seorang kaki pancing petang tadi yang menghubungi bomba kerana menyangkakan ada mangsa terlibat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada individu terperangkap dan difahamkan pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri dari kereta jenis Proton Saga itu pada waktu kejadian,”
katanya ketika dihubungi .MalaysiaGazette
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng kemudian menamatkan operasi pada jam 7.14 malam selepas memastikan tiada risiko lain di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette
















