KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak melihat kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel sebagai negara yang kuat di sebalik penindasan, kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat Palestin.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza berterusan kerana lemahnya keadaan umat Islam pada hari ini.
“Dalam perjuangan kita, kita kena rujuk kitab suci ini (al-Quran), ke mana haluan tuju, bagi saya Israel, Amerika dan sekutunya tidak kuat, yang lemahnya orang Islam.
“Kita lihat bila Iran diserang, tiada mesyuarat tergempar OIC, bila Yaman diserang perdana menteri dan beberapa menteri Kabinet yang lain meninggal dunia, tiada mesyuarat tergempar OIC.
“Hanya baru bila Hamas diserang Qatar, baru ada mesyuarat tergempar,” katanya berucap pada Himpunan Satu Dekad Amanah di Stadium Titiwangsa, di sini, malam tadi.

Mohamad berkata, Amanah boleh berbangga apabila negara mempunyai Perdana Menteri yang bukan sahaja lantang bahkan berhujah dengan fakta semasa mesyuarat tergempar OIC.
“Dalam mesyuarat OIC selalunya berlaku pertandingan syarahan, hanya beberapa orang yang bercakap secara fakta dan berkualiti termasuklah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Mohamad, lebih memalukan apabila bukan Islam berhaluan kiri dan berfahaman komunis lebih bersatu padu berbanding umat Islam dalam menyatakan pendirian terhadap tindakan ketenteraan regim Israel di Gaza.
“Golongan kiri dan komunis lebih bersatu daripada umat Islam, mereka tak baca ayat Wa’tasimu Bihablillahi Jami’a Wala Tafarraqu, orang Vietnam tak baca, orang Cuba tak baca, Korea Utara tak baca.
“Innamal Mukminulnal Ikhwah, orang mukmin itu bersaudara, Xi Jinping (Presiden Republic Rakyat China) tak baca, tapi kita lihat perpaduan golongan kiri dan komunis, Korea Utara, China, Rusia, Venezuela, Vietnam dan Columbia.
“Mereka bersatu menyebabkan kuasa imperialis dunia tak berapa berani untuk mengusik negara-negara ini,” katanya.
Sebaliknya, Mohamad berkata, perpecahan dalam kalangan umat Islam dan negara-negara Arab menyebabkan mereka tidak berupaya untuk melakukan sebarang tindakan pembelaan kemanusiaan rakyat Palestin.
“Negara orang Islam berpecah dalam bentuk sekretarian, berpecah dalam bentuk cara pemerintahan. Kenapa? kerana negara-negara ini masih dinaungi oleh imperialis.
“Ingat ketika perang berlaku 12 hari antara Iran, Israel dan Amerika, Ayatollah Ali Khamenei mengatakan, awas, ada Syiah buatan Britain, ada Sunni buatan Britain, buatan inilah yang melaga-lagakan dan menjadikan umat Islam bersifat sekretarian.
“Bagi Israel, dia tak kira kamu mazhab apa, tak kira kamu siapa, dia nak memperluaskan wilayah, dia langgar semua, kerana belakangnya ada kuasa imperialis Amerika dan Eropah.
“Tapi kita, ini mazhab ini, ini puak ini, jangan peduli Yaman kerana dia orang miskin, akhirnya imperialis melihat bahawa negara Islam dan umat Islam keadaan berpecah,” katanya.

Bagaimanapun Mohamad berbangga apabila bibit-bibit keberanian umat Islam untuk membela rakyat Islam kini muncul dengan berani menerusi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
“Insya-Allah bibit-bibit keberanian sudah muncul, yang pergi GST kebanyakannya bawah umur 40 tahun.
“Kalau ditanya mereka bagaimana kalau kamu ditembak, dibuat zalim oleh Israel, mereka kata, kami bersedia hadapinya, kami hanya berdoa kerana kami tidak membawa senjata.
“Tadi saya berpeluang melawat pusat operasi flotilla yang berada di Cyberjaya sambil mendengar taklimat, saya rasa diri saya yang masuk siri tujuh siri ini pun kalau ada peluang saya nak bersama belayar ke sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















