Ahmad Zahid melancarkan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Begeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hadir ke Malaysia adalah keputusan sebulat suara 10 pemimpin negara ASEAN bukan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun kata  beliau, kehadiran Presiden AS itu tidak mengubah pendirian Malaysia dalam isu Palestin.

“Malaysia menjadi pengerusi kepada Sidang Kemuncak ASEAN, lazimnya kita punyai rakan dialog terutama AS, Jepun, China dan pelbagai negara lain.

“Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke 46 lalu, kita mengadakan sidang kemuncak bersama-sama dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan pada kali ini sidang kemuncak itu kita buat sama sebagai rakan ASEAN termasuk AS.

“Ini bukan keputusan PMX (Anwar Ibrahim) sebagai Pengerusi ASEAN tetapi keputusan sebulat suara seluruh 10 pemimpin negara ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak dengan rakan dialog kita dan Trump adalah Presiden AS.

“Namun ini tidak menghentikan untuk pendirian (tidak setuju) kita jika ada campur tangan dari AS terhadap apa yang berlaku di Gaza, Palestin. Pendirian itu tidak mengubah kedudukkan kita. Secara rasiaonalnya Pengerusi ASEAN, Malaysia harus menghormati keputusam sebulat suara pemimpin negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Begeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan barisan Exco Johor.

Ditanya adakah isu kehadiran Trump akan dibahas di Parlimen esok, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mungkin ada ahli Parlimen yang akan berbahas isu tersebut.

“Ya, mungkin ada ahli Parlimen yang akan bahaskan isu ini dan mereka boleh buat demikian tetapi kita harus hormati keputusan dibuat seketariat ASEAN terutama keputusan yang dibuat 10 pemimpin ASEAN.

“Pada kali ini Sidang Kemuncak ke 47 akan terima Timor Leste sebagai negara ke 11 yang akan anggotai ASEAN,” katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, Malaysia berharap mengadakan perbincangan lebih terbuka bersama Trump sempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN–AS dalam usaha menjamin hak rakyat Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta bermaruah.

Ketegasan sama turut dizahirkan, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilaporkan berkata, jemputan kepada Donald Trump ke Kuala Lumpur adalah sebagai rakan dialog untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan bukan jemputan hubungan dua hala Malaysia-AS.

Jelas Mohamad, Malaysia tidak mempunyai hak untuk menolak atau memilih ketua negara yang akan dijemput sambil menyifatkan ia merupakan diplomatik yang salah selain ASEAN memiliki kekuatan tersendiri iaitu prinsip berkecuali yang menjadi teras utama.

Kelmarin, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilaporkan berkata, lawatan Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan ini tidak bermaksud Malaysia berkompromi atau melupakan perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, lawatan itu sebaliknya membuka peluang penting untuk Malaysia menggunakan platform ASEAN bagi menyampaikan mesej kepada Trump secara bersemuka tanpa berselindung.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober 2025, dengan beberapa pemimpin dunia dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka hadir.

Sebelum ini, beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa persatuan termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan agar membatalkan jemputan kepada Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast