KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menegaskan status majlis antarabangsa tidak boleh dijadikan alasan mengetepikan pekeliling kerajaan atau menormalisasi tindakan yang bertentangan dengan adat serta sensitiviti masyarakat tempatan.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Malaysia mempunyai acuan tersendiri dalam menonjolkan imej serta daya tarikan pelancongan yang berasaskan nilai budaya, kesantunan dan keunikan tempatan yang diiktiraf dunia.
Justeru setiap majlis rasmi perlu mematuhi garis panduan sedia ada, katanya.
“UMNO Kedah menegaskan tiada mana-mana pegawai atau kementerian boleh sewenang-wenangnya melanggar pekeliling kerajaan atas alasan apa sekali pun.
“Jika benar berlaku, pihak berkaitan perlu bertanggungjawab dan memberikan penjelasan segera kepada rakyat,” tegas Shaiful Hazizy dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin bahawa minuman alkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan sebaliknya menjelaskan majlis itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
King Sing menjelaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah memandang serius laporan mengenai penganjuran satu majlis rasmi kerajaan yang didakwa melibatkan hidangan minuman keras dan menegaskan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana acara rasmi yang membawa nama serta imej kerajaan.
UMNO Kedah turut menegur dengan tegas pihak Kementerian dan Ketua Setiausaha supaya lebih berperanan secara langsung dalam memastikan setiap majlis mematuhi pekeliling serta tatacara rasmi kerajaan yang telah ditetapkan.
“Pekeliling ini bukan sekadar dokumen pentadbiran tetapi garis panduan yang mencerminkan disiplin, profesionalisme dan nilai budaya Malaysia,” katanya.
Kerajaan, katanya, perlu menunjukkan contoh terbaik dan tidak membuka ruang kepada persepsi nilai serta garis panduan rasmi negara boleh dipandang ringan.
UMNO Kedah turut mendesak supaya kementerian berkenaan mengambil tindakan pembetulan dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap semua agensi di bawahnya bagi mengelak perkara sama berulang. – MalaysiaGazette
















