JURU – Tahap pematuhan penggunaan peranti kawalan had laju (SLD) dalam kalangan kenderaan perdagangan di Pulau Pinang disifatkan masih rendah apabila majoriti kenderaan yang diperiksa sepanjang lima hari pertama penguatkuasaan gagal mematuhi syarat ditetapkan.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, daripada 165 kenderaan perdagangan diperiksa sepanjang operasi khas bermula 1 Oktober lalu hanya 31 kenderaan dikesan mempunyai slip pengesahan SLD
“Manakala 91 pemilik kenderaan dikenakan tindakan menerusi pengeluaran Notis 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu panggilan temu siasat kerana gagal mematuhi peraturan.
“Bagi operasi malam tadi pula, sebanyak 48 kenderaan diperiksa dengan 31 Notis 114 dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Juru (arah utara) di sini, malam tadi.

Penguatkuasaan penggunaan SLD ini melibatkan kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015 membabitkan bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) serta kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500 kg.
Tambah Zulkifly, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu atau pengusaha yang ingkar.
“Justeru kita menyeru semua pengusaha kenderaan perdagangan agar mematuhi pemasangan dan pengesahan SLD demi keselamatan bersama, selaras dengan pendekatan Kementerian Pengangkutan untuk membendung kadar kemalangan terutama yang membabitkan lori dan bas,” katanya.
SLD adalah peranti keselamatan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan perdagangan kepada 90 kilometer sejam bagi mengurangkan risiko kemalangan maut, mengelakkan pemanduan agresif dan meningkatkan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette
















