KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dijangka bakal membuat pengumuman mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah selepas menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi tadi.
Kenderaan membawa Hajiji dilaporkan memasuki Istana Seri Kinabalu pada jam 8.50 pagi tadi.
Jumaat lalu, Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri negeri itu berkata, pihaknya akan membuat jemputan untuk sidang media berkaitan pembubaran DUN Sabah apabila tiba masanya namun sehingga kini masih belum ada jemputan mengenainya dibuat.
DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal seterusnya memberi laluan bagi PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.
Tempoh ini dikira bermula dari tarikh persidangan pertama DUN Sabah Ke-16 iaitu pada 12 November 2020.
Dalam perkembangan politik di Sabah, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) telah memutuskan untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan akan bertanding secara solo dalam PRN17.
Keputusan itu dibuat kerana STAR dan SAPP tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Sabah mempunyai 73 kerusi Dun yang akan direbut menjelang pilihan raya tidak lama lagi.
Sehingga kini, Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan bakal bertanding di semua kerusi tersebut.- MalaysiaGazette















