ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi berjaya diselamatkan selepas bot fiber dinaiki karam berhampiran di Kampung Tebing Runtoh di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I, Saifulizam Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9 .01 pagi.
Susulan itu seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Bot berkenaan karam pada jarak 10 meter dari tebing. Terdapat dua mangsa masing-masing berusia 40-an. Seorang daripada mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
“Sementara seorang lagi masih belum ditemui. Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pihak bomba melakukan teknik surface searching dengan menggunakan bot nelayan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang.- MalaysiaGazette
















