AIFFA lonjak sektor pelancongan, industri kreatif Sarawak, terima 200 penyertaan filem.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 di Kuching antara usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh sektor pelancongan dan kreatif melalui program bertaraf antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sokongan terhadap penganjuran festival filem itu juga selaras dengan hasrat menonjolkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan berteraskan seni dan budaya.

Katanya, penganjuran festival tersebut turut memberi impak besar terhadap sektor pelancongan dan industri kreatif di Bumi Kenyalang.

“Apabila festival seperti AIFFA dianjurkan, ramai artis, penerbit dan kru produksi dari seluruh ASEAN akan datang ke Sarawak.

“Selain kehadiran mereka juga membantu industri pelancongan, di samping memperkenalkan Sarawak sebagai pusat seni dan budaya serantau,” katanya selepas pelancaran AIFFA 2025 edisi ketujuh di ibu negara, hari ini yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 15 November depan.

AIFFA lonjak sektor pelancongan, industri kreatif Sarawak, terima 200 penyertaan filem.

Tambah Abdul Karim, selain mengiktiraf karya perfileman serantau, AIFFA turut menjadi platform penting untuk melonjakkan potensi wilayah itu sebagai hab industri kreatif di rantau Borneo.

“Meskipun industri perfileman di Sarawak masih kecil berbanding Kuala Lumpur, Jakarta dan Bangkok, (penganjuran ini) antara usaha kami memperkukuh sektor pelancongan dan kreatif melalui program bertaraf antarabangsa,” jelasnya.

Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang

Sementara itu, Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang memaklumkan, lebih 200 filem dari negara ASEAN dijangka menyertai festival kali ini dengan beberapa kategori baharu diperkenalkan.

Antaranya termasuk ASEAN University Award, khusus untuk pelajar universiti di ASEAN yang menghasilkan filem pendek dan Borneo Documentary Award bagi dokumentari yang dihasilkan di Borneo.

“Kita mahu membuka ruang kepada generasi muda dan pembikin dokumentari tempatan untuk menonjolkan bakat mereka di peringkat serantau,” ujarnya.

Festival kali ini turut menampilkan pelakon terkenal Hong Kong, Simon Yam, sebagai ikon AIFFA 2025, selain persembahan malam gala oleh Datuk M. Nasir, penyanyi Indonesia, Ruth Sahanaya serta pelbagai penggiat seni serantau ASEAN.

AIFFA 2025 menjanjikan program lebih menarik dengan pelbagai aktiviti di lokasi-lokasi ikonik seperti The Spring Mall, Muzium Budaya Borneo, Tebingan Kuching dan Hotel Pullman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast