Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mendesak kerajaan memperbetulkan pekeliling dan garis panduan agar tidak timbul kekeliruan atau pengulangan insiden menghidang arak dalam majlis rasminya.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, majlis rasmi kerajaan perlu mencerminkan nilai dan budaya Malaysia yang menghormati sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama, tanpa menjejaskan keharmonian.

“Kerajaan wajib menjaga sensitiviti umat Islam sebagai agama Persekutuan, selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Penganjuran majlis rasmi kerajaan tidak wajar menghidangkan arak, sama ada anjuran terus kerajaan atau melibatkan pihak swasta yang bekerjasama dengan agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus sama ada benar berlaku insiden itu dalam program rasmi kerajaan dan siapa yang bertanggungjawab meluluskannya.

“Pejuang akan terus konsisten menegur dan mengingatkan kerajaan agar setiap dasar dan tindakan selari dengan aspirasi rakyat serta nilai integriti,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan minuman keras dihidangkan dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Beberapa gambar daripada majlis tersebut menunjukkan Tiong dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir.

Selain Mas Ermieyati, antara yang turut mengecam hidangan arak pada majlis makan malam itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Yahaya.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni San Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing Tiong yang hadir menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan majlis tersebut adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast