KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar ceria seketika apabila Ahli Parlimen Masjid Tanah (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin secara berseloroh meluahkan rasa kecewa dan sedih kerana tidak berpeluang bertemu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, kerana tidak hadir ke sesi soal jawab lisan pagi ini.
Sebaliknya, kementerian itu diwakili oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, bagi menjawab persoalan berhubung dasar dan pelaksanaan di bawah portfolio kementerian tersebut.
“Sejak semalam saya sudah menunggu. Tak apalah, saya teruskan juga. Cuma sedihlah sebab YB Menteri tak datang,” katanya dengan nada bersahaja yang disambut gelak tawa dalam Dewan.
Timbalan Menteri turut membalas dengan nada gurauan, mencuit suasana mesra dalam kalangan ahli Parlimen.
“Saya pun sedih juga, sebab YB Menteri nampaknya tak berminat nak jawab pertanyaan daripada YB Masjid Tanah,” ujar Khairul Firdaus sambil ketawa.
Mas Ermieyati mengajukan soalan kepada Perdana Menteri berhubung tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, termasuk dari segi promosi antarabangsa serta penglibatan kerajaan-kerajaan negeri. -MalaysiaGazette














