KUALA LUMPUR – Industri pelancongan tampil mempertahankan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung isu hidangan minuman beralkohol dalam satu majlis Tourism Malaysia baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik, Mint Leong menegaskan bahawa pihak industri adalah pihak paling layak untuk menilai prestasi seorang menteri.
“Oleh itu, jika ada hasrat untuk memecat menteri, sila tanya kami terlebih dahulu. Kami juga meminta Perdana Menteri memecat pemimpin politik yang membantutkan pembangunan pelancongan negara,” katanya kepada Sinchew Daily.
Mint turut menyelar tindakan dua pemimpin Melaka, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah dari Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau mencadangkan agar menteri mempertimbangkan semula agihan sumber kepada Melaka.
“Memandangkan dua pemimpin Melaka ini tidak berpuas hati, kementerian harus mempertimbangkan sama ada untuk menarik balik majlis berkaitan pelancaran Tahun Melawat Malaysia di Melaka,” katanya.
Mint menyatakan bahawa kritikan dua pemimpin politik itu telah melukakan hati pemain industri yang bekerja keras selama ini.
“Kementerian Pelancongan dan pihak industri telah menyalurkan banyak sumber ke Melaka untuk menganjurkan sambutan Hari Pelancongan Sedunia.
“Hasilnya, ramai yang mengunjungi Melaka, penginapan penuh minggu lalu, dan program di Melaka mendapat liputan media yang meluas.
“Banyak sumber telah disalurkan, tetapi yang kami dapat adalah kritikan. Ini sangat menyakitkan hati,” katanya.
Beliau menggesa ahli politik agar tidak mempolitikkan isu alkohol semata-mata untuk mencuri perhatian.
Mint berhujah bahawa terdapat petanda jelas bahawa perkembangan pelancongan adalah berkait dengan alkohol, justeru industri pelancongan tidak boleh memisahkan diri 100 peratus daripadanya.
“Menteri sendiri sudah menyatakan bahawa pihak swasta yang menjamu tetamu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa hal ehwal pelancongan harus ditentukan dan dinilai oleh pihak industri dan pihak berkepentingan, dan Dr. Muhamad Akmal sebagai ‘orang luar’ tidak seharusnya mengkritik.
Polemik tercetus susulan majlis makan malam gala sempena Global Travel Meet anjuran bersama Tourism Malaysia yang didakwa menyajikan minuman beralkohol.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing, menjelaskan bahawa majlis itu diambil alih dan dianjurkan oleh pemain industri, bukan dibiayai atau dianjurkan sepenuhnya oleh kementeriannya.
Menteri itu enggan mengulas lanjut mengenai gesaan daripada pemimpin Pas dan UMNO yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memecatnya berhubung isu itu, namun beliau menegaskan acara tersebut bukanlah majlis kerajaan.

















butoh