KUALA LUMPUR – Prosiding bagi merangka persoalan undang-undang untuk menentukan kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, akan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi berlainan.
Na’imah memohon mahkamah membentuk persoalan undang-undang yang menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.
Prosiding itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Hakim K. Muniandy, namun beliau memaklumkan akan berpindah ke Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, pendakwaan memaklumkan pihaknya tidak berhasrat meneruskan permohonan untuk menggantung prosiding tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihaknya turut menarik balik permohonan berlainan supaya prosiding itu (merangka persoalan undang-undang), didengar di hadapan hakim lain.
Beliau memberitahu, pendakwaan turut memberi akujanji bagi menarik balik rayuan yang telah difailkan di Mahkamah Rayuan.
Rayuan itu untuk mengetepikan keputusan Hakim Muniandy yang akan merumus persoalan undang-undang untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Dalam perkara sama, peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar yang mewakili balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bersetuju dengan akujanji yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Hakim Muniandy kemudian membatalkan kedua-dua permohonan dan menetapkan pengurusan kes pada 10 November ini.
Pada 21 Ogos lalu, Hakim Muniandy membenarkan Na’imah menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya merangka persoalan undang-undang.
Namun, pihak pendakwaan memohon untuk menggantung prosiding itu (merangka persoalan undang-undang) atas alasan mereka telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.
Pendakwaan turut berpendirian, lebih ‘molek’ persoalan itu dirumus oleh hakim berlainan bagi mengelakkan persepsi umum.
“Mahkamah ini telah membenarkan permohonan Na’imah untuk rangka persoalan undang-undang, tidak semestinya prosiding itu didengar di hadapan hakim sama (Muniandy).
“Apa pula orang luar akan kata nanti kerana masih banyak hakim lain yang boleh mendengarnya, tidak semestinya hakim sama,” ujar beliau.
Bagaimanapun, Gurdial memohon prosiding diteruskan dan permohonan penangguhan ditolak.
Na’imah, 68, dituduh sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma-terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.
Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.
Na’imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama.
Harta itu membabitkan Ilham Tower Sdn. Bhd., Ilham Baru Sdn. Bhd., dua Mercedes-Benz, lapan hartanah, sebuah kediaman di Bukit Tunku, enam bangunan, lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, Jalan Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr. Ismail di sini. – MalaysiaGazette
















