Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Kedudukan kewangan negara kekal kukuh dan terkawal hasil pelaksanaan dasar fiskal berhemah dengan kadar defisit berjaya diturunkan kepada 4.1 peratus pada tahun 2024, berbanding 6.4 peratus pada 2021.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah konsolidasi fiskal yang diambil kerajaan membolehkan jumlah pinjaman baharu berkurang secara ketara dalam tempoh dua tahun.

“Pinjaman baharu menurun daripada RM99.4 bilion pada tahun 2022 kepada RM76.8 bilion pada 2024, menjimatkan lebih RM20 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, pinjaman yang dibuat adalah secara berhemat dan hanya disalurkan kepada sektor pembangunan strategik seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang memberi pulangan jangka panjang kepada rakyat.

Hui Ying menjelaskan setakat akhir Jun tahun ini, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.304 trilion, masih di bawah had statutori yang ditetapkan undang-undang.

“Kerajaan akan terus menurunkan defisit dan mengawal liabiliti menerusi langkah memperluas asas hasil, memperkemas subsidi bersasar, serta memastikan pinjaman hanya bagi tujuan pembangunan yang produktif,” ujarnya.

Beliau berkata, strategi pinjaman kerajaan kini lebih berpaksikan kepada pasaran modal tempatan, bagi meminimumkan risiko tukaran mata wang asing dan mengekalkan kestabilan fiskal negara.

“Prinsip kerajaan jelas, berbelanja secara berhemah, fokus dan bertanggungjawab. Pengurusan hutang yang baik bukan sahaja menjamin kemampanan fiskal, tetapi juga memperkukuh kepercayaan pelabur terhadap ekonomi Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast