KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan meminta pihak bertanggungjawab untuk memberi penjelasan berhubung beberapa isu yang berlegar sekitar tindakan yang dikenakan terhadap Jawatankuasa Tataterib FIFA terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung pemalsuan dokumen.
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian berkata, ini termasuk logik di sebalik obsesi terhadap pemain warisan sehingga mengenepikan bakat tempatan yang berusaha keras untuk layak ke peringkat tertinggi.
“Apakah keperluan mendesak untuk bergantung kepada pemain kelahiran luar sedangkan potensi tempatan yang besar masih menunggu untuk digilap? Ingatlah, kita menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 tanpa pemain warisan.
“Maruah bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu dibina oleh legenda-legenda sejati seperti Mokhtar Dahari, A. Arumugam, dan Soh Chin Aun, yang mengangkat nama negara dengan semangat dan kehormatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar satu kajian bebas dijalankan terhadap tadbir urus FAM serta dasar naturalisasi sukan Malaysia.
Dalam masa yang sama, beliau turut menuntut FAM dan Kementerian Belia dan Sukan tampil untuk menjelaskan proses saringan dan pengesahan dilaksanakan.
“Kami juga perhatikan (tetapi) tidaklah mengejutkan (mengenai) keheningan DAP dalam isu ini. Ini mungkin kerana Menteri Belia dan Sukan sendiri datang daripada parti DAP.
“Nampaknya pejuang-pejuang lantang ‘akauntabiliti’ kini tiba-tiba terkunci mulut apabila rasa malu itu berpunca daripada kementerian mereka sendiri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















