KUALA LUMPUR – Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran, kata Perdana Menteri.
“Kita akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza.
“Kita juga akan terus membingkai muafakat dengan negara-negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan serta membuka jalan kepada keamanan yang hakiki demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.
Menurut Anwar, selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia.
Mengimbas sambutan meraikan kepulangan sukarelawan Global Sumud Flotilla malam tadi, Anwar tersentuh melihat sokongan ramai rakyat Malaysia.
“Malam tadi, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun sebagai satu hati, menyuarakan solidariti buat saudara-saudara kita di Gaza yang terus dizalimi dan dinafikan hak menerima bantuan kemanusiaan.
“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian.
“Mereka datang bukan kerana dipaksa tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela,” katanya. – MalaysiaGazette
















