KENYATAAN akhbar DUPP berkenaan pelan damai yang dicapai antara Hamas dan Israel.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan gencatan senjata yang dicapai di bumi Gaza ketika ini merupakan kemenangan moral kepada perjuangan Hamas dan umat Islam di Palestin.

Ketua Penerangan DUPP, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, ia memberikan petanda awal yang menggambarkan kekalahan besar kepada kelangsungan serangan rejim zionis yang melakukan genosid ke atas penduduk Gaza.

Menurutnya, perjanjian yang dimeterai antara Hamas dan Israel itu muncul daripada keperluan mendesak untuk meredakan konflik berpanjangan di Gaza.

Tambah beliau, genosid itu telah meragut ribuan nyawa, memusnahkan infrastruktur asas dan melemparkan rakyat Palestin ke dalam krisis kemanusiaan yang parah.

“Tekanan antarabangsa, desakan negara dunia serta inisiatif masyarakat dunia mengangkat nama Palestin telah menundukkan rejim zionis yang disokong kuat oleh sekutunya, Amerika Syarikat (AS).

“Suara masyarakat dunia yang memberikan dukungan terhadap perjuangan Palestin kini tidak lagi boleh dipandang enteng, bahkan rejim Zionis juga berdepan dengan tekanan hebat oleh rakyatnya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, tambah Mohd Nor, cabaran besar masih menanti di sebalik pelan damai antara Hamas dan Israel ketika ini, termasuk soal kepercayaan, pemantauan dan jaminan keberkesanan jangka panjang.

Ujarnya, Hamas sudah menegaskan penglibatan dalam perjanjian itu adalah langkah taktikal untuk melindungi rakyat Palestin daripada kerosakan yang lebih besar.

Sehubungan itu, katanya, ia tidak sekali-kali bererti mengiktiraf Israel atau melupakan sejarah panjang kezaliman dan jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Hamas sedar bahawa Israel berulang kali mengkhianati perjanjian pada masa lalu.

“Oleh itu, penyertaan dalam rundingan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan kewujudan negara haram Israel, sebaliknya ia adalah strategi sementara demi memberi ruang rakyat Gaza bernafas dan terus bertahan,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, DUPP turut berpendirian dunia Islam sepatutnya bersatu mendukung perjuangan Hamas dengan mendesak kemerdekaan sepenuhnya buat Palestin, bukan tunduk kepada desakan pelan damai yang menguntungkan rejim Zionis dan sekutunya, AS.

Malah, ujarnya, kesatuan dalam kalangan negara umat Islam seharusnya diperkukuh dengan desakan agar rejim Zionis serta para pemimpinnya menerima hukuman yang setimpal ekoran tindakan genosid dan jenayah perang ke atas penduduk Gaza.

“Harus diingatkan bahawa kebangkitan dan perjuangan ini tidak akan berakhir selagi dunia Islam tidak bersatu memastikan Palestin dimerdekakan daripada cengkaman rejim Zionis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast