Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI ketika hadir di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Bagi menangani ketirisan, kerajaan bercadang melaksanakan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan terdapat pemilik kenderaan mewah yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan pengecualian cukai di dua kawasan bebas cukai berkenaan.

Tambah beliau, dalam usaha memperkukuh kawalan di pintu masuk negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat, selain melaksanakan Centralised Screening Complex (CSC) berasaskan sistem CCTV.

“Mulai 2026, pelaksanaan e-Invois akan diperluas secara menyeluruh bersama sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai, sementara pembayaran balik cukai terlebih bayar juga akan disegerakan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta bagi latihan serta perolehan aset baharu kepada agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), JKDM, dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Anwar menegaskan, peruntukan itu sejajar dengan tekad Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap agensi penguat kuasa mempunyai keupayaan optimum dalam membanteras ketirisan, rasuah dan aktiviti haram.

“Tidak dapat dimungkiri segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik dan lemahnya penguatkuasaan.

“Untuk rekod,  badan-badan penguat kuasa tersebut berjaya merekodkan hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion setakat ini, “ ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast