Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI ketika hadir di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 berpotensi melonjakkan ekonomi negara khususnya bagi sektor domestik di sebalik cabaran ekonomi dunia yang sedang melanda ketika ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, belanjawan tahun ini juga mengambil pendekatan baharu dengan menggabungkan dana daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC); syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); badan-badan berkanun serta menerusi pelaksanaan projek secara perkongsian awam-swasta (PPP).

Pendekatan secara berganding bahu itu, jelasnya, menyaksikan Belanjawan 2026 mampu menyediakan dana sebanyak RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.

“Kerana yang pentingnya, kita semua harus berganding bahu untuk membina dan membangun Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Alhamdulillah, kalau kita tengok dari segi kerangka yang kita pakai kerangka ekonomi Madani, di mana kita terus dengan usaha kita untuk meningkatkan siling dengan merancakkan ekonomi dan menarik lebih banyak industri untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini.

Tambah Amir Hamzah, Belanjawan 2026 juga memberi tumpuan khusus kepada pembangunan sektor industri kecil dan sederhana (SME) negara untuk terus berkembang menerusi peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang ditingkatkan kepada RM30 bilion berbanding RM30 bilion tahun lalu.

“Kita harap dengan penambahan peruntukan ini, SME dapat mengembangkan industri mereka dan mula berganjak untuk menembusi pasaran luar negara.

“Ini penting kerana ia dapat membantu membina pasaran eskport yang lebih besar dan kuat, seterusnya memperluaskan industri yang kita ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast