GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap pelaksanaan projek yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 melibatkan negeri ini dapat diperincikan bagi memastikan kelancaran di peringkat pelaksanaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hampir separuh daripada senarai projek strategik yang dibentangkan kerajaan negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi libat urus pada 18 Mac lalu, dimasukkan ke dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Antara projek utama yang disenaraikan meliputi pelebaran Lebuhraya PLUS dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua, pembinaan Klinik Kesihatan Kubang Semang serta pembangunan Kompleks Kesihatan Bersepadu di Seberang Perai Tengah.
Katanya, dalam aspek bekalan air pula, kerajaan persekutuan bersetuju menaik taraf lokasi pengambilan air mentah di Titi Kerawang dan Teluk Awak, termasuk pemasangan paip ke Empangan Teluk Bahang.
“Pulau Pinang turut menerima manfaat melalui penambahbaikan infrastruktur sukan dengan naik taraf Kompleks Sukan Bertam di Kepala Batas serta cadangan pembinaan laluan bawah tanah menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma, termasuk persimpangan sekitar Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Kon Yeow, perincian lanjut mengenai pelaksanaan projek-projek ini penting agar kerajaan negeri dapat membuat persediaan rapi dan menyegerakan pelaksanaan bersama agensi persekutuan.
Beliau turut berharap Perdana Menteri dapat menyempurnakan pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) ke-24 di Seberang Perai sebagaimana dijadualkan pada November ini.
“Dalam aspek pengangkutan udara, Pulau Pinang menyambut baik peruntukan RM2.3 bilion yang diumumkan untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memperkukuh pengurusan lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang turut menerima manfaat daripada inisiatif ini.
“Kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan terhadap pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Nasional dengan peruntukan RM2.2 bilion, yang mana sebahagiannya akan dimanfaatkan untuk Projek Tebatan Banjir Sungai Nyiur di Seberang Perai Utara.
“Selain itu, Pulau Pinang juga bakal menerima pusat rehabilitasi baharu berkapasiti 250 katil yang akan dibangunkan oleh Perkeso,” katanya.
Mengulas bagi bidang pendidikan, Kon Yeow memaklumkan Pulau Pinang akan menerima sebuah sekolah menengah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juru, selain pelaksanaan konsep sekolah vertikal di kawasan berkepadatan tinggi, yang turut melibatkan projek perumahan seperti Rumah Bakat MADANI SkyWorld Pearlmont di Seberang Perai.
“Inisiatif memperkukuh perkhidmatan kerajaan digital juga akan diperluas ke Pulau Pinang melalui penghasilan lebih banyak aplikasi oleh Unit GovTech Malaysia dan penyediaan Kiosk MADANI di beberapa lokasi negeri ini.
“Kerajaan negeri turut menyambut baik komitmen UDA Holdings Berhad dalam menerajui pembangunan tanah wakaf melalui Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3, serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.
“Di samping itu, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut akan melaksanakan projek rumah warga emas mandiri di Kepala Batas dengan pelaburan RM300 juta melalui kerjasama bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),” katanya. – MalaysiaGazette
















